Inap desa jadi sarang PATI

Inap desa jadi sarang PATI

MIRI, 11 Nov (Bernama) – Jabatan Imigresen membongkar operasi sebuah inap desa dan rumah dua tingkat di sini, apabila menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan pada 2 pagi tadi.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Sarawak, Garry Belayong John Siki berkata PATI yang ditahan itu terdiri daripada warganegara India dan Indonesia.

“Kesemua ditahan kerana kesalahan menyalahguna pas lawatan sosial dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu yang diketuai Ketua Imigresen Miri, Roy G. Fender Entusa melibatkan 34 anggota penguatkuasa Imigresen.

“Kesemua 27 PATI itu dihantar ke Depot Tahanan PATI Imigresen Bekenu, Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.