Inap desa jadi tarikan

Inap desa jadi tarikan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Inap desa di negara ini yang menawarkan konsep pelancongan tinggal bersama keluarga angkat, semakin menarik perhatian pelancong luar negara yang ingin merasakan sendiri budaya, cara hidup kampung dan tradisi penduduk negara ini.

Salah sebuah inap desa yang mendapat pengiktirafan dan menempa nama ialah Inap Desa Seri Tanjung di Kampung Sungai Bunga, Mukim Kota Batu yang baru-baru ini menerima Anugerah ASEAN Homestay Standard di Manila.

Anugerah yang diterima pada Februari lalu merupakan hasil kerjasama ahli majlis perundingan kampung (MPK) inap desa itu yang memberikan tanggapan baik kepada pelancong-pelancong negara ASEAN.

Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal juga selaku Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga menjelaskan, selepas kampung itu dianugerahkan sebagai Kampung Cemerlang pada tahun 2012, projek diperluaskan lagi ke Kampung Sungai Bunga untuk menyediakan tawaran perkhidmatan pelancongan mengikut piawaian tertentu.

“Alhamdulillah, beberapa visi telah tercapai untuk menjadikan Kampung Sungai Bunga termasuk Kampung Sungai Matan menjadi kampung pelancong dan ini membantu menyumbangkan sedikit sebanyak kepada ekonomi negara,” kata Pengiran Haji Abdul Rahman lagi

Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman.
Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman.

“Apa yang penting, ahli MPK selaku penduduk kampung sama-sama menjayakan aktiviti pelancongan ini, di mana produk-produk kampung juga menyumbang kepada pendapatan mereka.”

Sejak 2015, kedatangan pelancong luar semakin meningkat. Pada bulan Januari 2016, jumlah kedatangan pelancong mengunjungi Kampung Sungai Bunga mencecah lebih 100 orang terutama pelancong dari Amerika Syarikat, Australia, Korea dan negara-negara ASEAN yang lain.

Menurutnya, inap desa yang menjanjikan pengalaman tuan rumah kepada pelancong ternyata berjaya menarik perhatian. Misalnya jika pelancong tinggal bersama seorang nelayan, maka pelancong berkenaan akan berpeluang untuk menikmati pengalaman menangkap ikan dan jika tinggal bersama peniaga, mereka juga akan ikut berniaga selain berpeluang untuk mengikuti cara kehidupan seharian di rumah berkenaan.

pg10_160627_c

Lawatan para pelajar dari Singapura.
Lawatan para pelajar dari Singapura.

Beliau juga menjelaskan pelancong yang datang ke kampung tidak semestinya menginap sebagai anak angkat, tetapi mereka juga boleh menginap secara sendiri atau datang untuk beberapa ketika untuk melihat kehidupan seharian sambil menyaksikan pembuatan produk-produk tempatan.

Apa yang menarik perhatian pelancong luar lagi ialah aktiviti yang disediakan seperti perkhidmatan pelancong, tarian tradisional Brunei, menari bersama pelancong, makan Ambuyat, membuat kikik, menangkap ikan, cara memproses keropok, memancing dan menangkap ketam.

Antara projek yang sedang giat dilaksanakan adalah membuka kedai berkonsepkan kiub di The Airport Mall kepunyaan Kampung Sungai Bunga. Kedai kiub ini nanti akan mempamerkan produk-produk MPK dari seluruh negara di bawah inisiatif Satu Kampung Satu Produk.

ARTIKEL YANG SAMA