Inap Desa Santubong jadi tumpuan dunia

Inap Desa Santubong jadi tumpuan dunia

KUCHING, 1 Mei (Bernama) – Kampung Santubong yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar raya Kuching, sebelum ini tidak pernah dikenali dan kebanyakan penduduknya pula hanya bekerja sebagai nelayan.

Namun kini kampung yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai itu terkenal bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Sarawak dan Semenanjung, malah ia menjadi destinasi wajib pelancong luar negara setiap kali berkunjung ke negeri ini.

Hal ini berlaku sejak beberapa penduduk menyertai program inap desa di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2008.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Inap Desa Santubong mencatatkan prestasi pendapatan memberangsangkan pada 2015 dengan rekod pulangan sebanyak RM314,235.

“Seramai 1,081 pengunjung telah datang ke Inap Desa Santubong terdiri daripada 937 pelancong domestik dan 144 pelancong antarabangsa,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Inap Desa Santubong, di sini hari ini.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah) menyampaikan kad program pelancongan pelajar kepada guru-guru sekolah selepas pelancaran kad tersebut pada majlis pecah tanah Hotel Hilton di i-City Kelmarin. - Bernama
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (tengah) menyampaikan kad program pelancongan pelajar kepada guru-guru sekolah selepas pelancaran kad tersebut pada majlis pecah tanah Hotel Hilton di i-City Kelmarin. – Bernama

Inap Desa Santubong yang diuruskan 23 pengusaha, telah mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah ‘ASEAN Homestay Standard’ sempena Forum Pelancongan ASEAN 2016 pada Januari lepas di Manila, Filipina, katanya.

Nazri berkata selain menjadi sumber pendapatan penduduk kampung menerusi 23 buah inap desa di Kampung Santubong, kemudahan itu turut menyumbangkan kepada pencapaian sasaran kedatangan 30.5 juta pelancong, dan hasil sebanyak RM103 bilion kepada ekonomi negara.

Di Sarawak, katanya 35 buah inap desa telah berdaftar dengan kementerian berkenaan.

Sementara itu, penyelaras Inap Desa Kampung Santubong, Jamilah Shukri berkata sejak diberi pengiktirafan oleh kerajaan dan pelbagai pihak, inap desa di kampungnya semakin mendapat perhatian ramai dan kehidupan penduduk yang menyertai program inap desa itu semakin bertambah baik.

Berlatar belakangkan Gunung Santubong dan kedudukannya terletak di muara Sungai Sarawak, pelancong yang datang ke inap desa Kampung Santubong boleh menikmati keindahan alam dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan seperti melihat ikan lumba-lumba, memancing dan mendaki gunung.

Persembahan adat dan kebudayaan penduduk kampung yang kebanyakannya bangsa Melayu turut dipersembahkan seperti pertunjukan pakaian pengantin tradisional dan Tarian Puteri Santubong.