Inap desa semakin berkembang

Inap desa semakin berkembang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Sektor pelancongan negara menunjukkan perkembangan yang positif dengan pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan ditawarkan yang mengetengahkan khazanah, budaya, sejarah serta masyarakat unik Negara Brunei Darussalam.

Salah satu sektor pelancongan tempatan yang kini mula mendapat tempat di hati para pengunjung dari luar negara ialah menerusi sektor pelancongan berasaskan komuniti, di mana ia merupakan sejenis pelancongan yang dihasratkan untuk memperkasa komuniti dengan menguruskan pertumbuhan pelancongan itu, untuk menepati aspirasi komuniti berhubungan kesejahteraan masyarakat setempat dari segi ekonomi, sosial dan pembangunan alam sekitar mapan.

Salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti tempatan yang mula dikenali adalah pakej inap desa iaitu Inap Desa Seri Tanjung yang dikelolakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga di mana ia telah mencatatkan perkembangan positif sejak mula beroperasi pada Disember 2013 dan telah dianugerahkan Anugerah Standard Inap Desa ASEAN 2016, baru-baru ini.

Projek Inap Desa Seri Tanjung bermula dengan sebuah rumah yang menawarkan perkhidmatan berkenaan dan kini telah berkembang kepada 12 buah rumah.

Perkembangan positif projek inap desa itu dikongsi oleh Setiausaha MPK Sungai Bunga dan Ketua Biro Ekonomi MPK Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh dalam temu bual bersama Media Permata di Inap Desa Seri Tanjung Kampung Sungai Bunga, baru-baru ini.

Pelbagai kegiatan penduduk kampung yang boleh disertai oleh para pengunjung ke Inap Desa Seri Tanjung.
Pelbagai kegiatan penduduk kampung yang boleh disertai oleh para pengunjung ke Inap Desa Seri Tanjung.

Beliau berkata bahawa jumlah rumah yang menawarkan perkhidmatan inap desa itu juga bertambah mengikut keperluan di mana jika terdapat permintaan bagi bilik menginap yang banyak.

Awang Zaini berkata, sasaran bagi projek itu adalah untuk menjadikan Kampung Sungai Bunga sebagai sebuah kampung inap desa dan menyatakan bahawa setiap tahun jumlah pengunjung yang berkunjung terus meningkat, di mana pada 2015 sahaja, kampung itu mencatatkan kira-kira 500 orang pengunjung termasuk dari negara-negara ASEAN dan juga pengunjung dari negara-negara Eropah.

Beliau juga berkata bahawa sehingga Ogos 2016, jumlah pengunjung ke kampung berkenaan sudah melebihi 500 orang dan percaya sasaran sebanyak 1,000 orang pengunjung ke kampung itu bagi 2016 akan dapat dicapai.

Mengulas mengenai kegiatan yang disertai oleh para pengunjung atau pelancong ke Inap Desa Seri Tanjung, Awang Zaini berkata, para pengunjung atau pelancong akan menjadi seperti anak angkat bagi penduduk kampung berkenaan, di mana para pelancong itu akan menyertai kegiatan harian bagi keluarga angkat mereka di kampung itu seperti mereka menginap dengan keluarga nelayan, para pelancong itu akan menyertai kegiatan sebagai seorang nelayan.

Kegiatan dan pengalaman yang diperoleh para pelancong semasa tinggal di kampung itu merupakan sesuatu yang unik di mana mereka menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kampung berkenaan serta mengalami sendiri kehidupan kampung termasuk makanan, budaya dan pergaulan masyarakat kampung.

Inap Desa Seri Tanjung Kampung Sungai Bunga terus menambat hati pengunjung dari luar negara.
Inap Desa Seri Tanjung Kampung Sungai Bunga terus menambat hati pengunjung dari luar negara.

Beliau juga berkata, mereka juga menawarkan pakej secara berkumpulan dan pakej terbaru yang ditawarkan adalah menjadi seorang pengayuh regata di mana mereka dapat merasa sendiri keseronokan kegiatan mengayuh perahu dan berharap bagi pengunjung yang tidak pernah merasakan pengalaman itu, mereka boleh berkunjung ke Inap Desa Seri Tanjung untuk menikmati pengalaman sebagai seorang pengayuh regata.

Selain daripada itu, para pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pelbagai kegiatan yang dijalankan oleh penduduk kampung termasuk penghasilan produk-produk bagi Satu Kampung Satu Produk iaitu pembuatan keropok, pembuatan pais dan kuih.

Menjawab persoalan mengenai membantu perekonomian penduduk kampung, beliau berkata bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh projek inap desa setentunya memberikan manfaat kepada penduduk kampung di mana ia dapat menambah hasil pendapatan mereka dengan setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh penduduk kampung akan mendapat imbalan mereka.

Mengulas mengenai maklum balas daripada pengunjung ke inap desa itu, beliau berkata bahawa pengunjung-pengunjung memberikan maklum balas yang amat positif mengenai pengalaman mereka, yang mana satu keunikan yang sering diketengahkan atau menambat hati mereka ialah keunikan kehidupan kampung, sikap peramah penduduk dan amalan gotong-royong.