Income Tax Bo...

Income Tax Board of Review ditubuh

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan Income Tax Board of Review bagi memperkesankan lagi pentadbiran dan operasi percukaian di negara ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, Income Tax Board of Review ini memperkenalkan proses baru yang mana lembaga ini akan mendengar, meneliti dan memberi keputusan ke atas kes bantahan daripada syarikat-syarikat terhadap taksiran pemungut cukai pendapatan.

“Ia juga akan mewujudkan sistem pentadbiran cukai korporat yang lebih telus dan saksama kerana kes-kes bantahan tersebut akan diteliti oleh sebuah badan bebas.

“Syarikat boleh mengemukakan rayuan mereka secara bertulis kepada Setiausaha Income Tax Board of Review, Pejabat Income Tax Board of Review di Tingkat 4, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan,” kata Kementerian Kewangan sambil menambah bahawa bayaran sebanyak $200 dikenakan bagi setiap kes rayuan.

Makluman lanjut mengenai proses rayuan boleh didapati di laman sesawang Kementerian Kewangan di www.mof.gov.bn