Indahkan bulatan di Pekan Muara

Indahkan bulatan di Pekan Muara

Beberapa hari yang lalu saya telah memandu ke Pekan Muara dan melalui dua pusing keliling yang agak besar iaitu pusing keliling yang saya gelar pusing keliling Pekan Muara dan satu lagi yang terletak di Lebuh raya Muara/Berakas (kedua-kedua pusing keliling patutlah diberikan nama rasmi).

Apa yang menyedihkan dan memeranjatkan saya keadaan dua pusing keliling ini ialah ‘bare’ sahaja tanpa ada tanam-tanaman bunga dan pokok-pokok yang sesuai, dengan rumput yang panjang tanpa di potong dan dibiarkan begitu.

Saya sedih kerana Pekan Muara adalah merupakan pintu masuk ke Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai terutama pelancong yang menggunakan kapal persiaran yang besar dan juga yang tiba melalui terminal feri dari Labuan dan Sabah.

Mereka akan menggunakan kenderaan atau bas pelancongan untuk pergi ke Bandar Seri Begawan atau lain-lain kawasan dan sudah tentu akan menggunakan jalan raya dan melintasi dua buah pusing keliling ini.

Dari itu, wajarlah kedua pusing keliling ini diindahkan dengan tanaman pokok-pokok bunga dan pokok-pokok kecil termasuk pokok simpur bagi mencerminkan suasana ‘Bandar raya Dalam Taman.’ Saya juga ingin menyarankan agar kedua-dua pusing keliling ini diberikan nama khas bagi kesenangan orang ramai dalam masa kecemasan dalam meminta bantuan.

Pekan Muara juga akan membangun dan bertambah ramai dengan adanya pembangunan  di Pulau Muara Besar dan tembusan dari jambatan dari Daerah Temburong. – Orang Pekan Muara, Pekan Muara

 

ARTIKEL YANG SAMA