Indeks harga pengguna China meningkat 2.3%

Indeks harga pengguna China meningkat 2.3%

BEIJING, 11 April (Bernama) – Indeks Harga Pengguna (IHP) China meningkat 2.3 peratus pada Mac berbanding tahun sebelumnya, sama seperti Februari, lapor Agensi Berita Xinhua hari ini.

IHP, pengukur utama inflasi, susut 0.4 peratus pada Mac berbandiang bulan sebelumnya, kata agensi berita itu yang memetik kenyataan daripada Biro Perangkaan Nasional (NBS).

Xinhua yang memetik ahli statistik NBS, Yu Qiumei sebagai berkata bahawa pertumbuhan inflasi sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan harga sayur-sayuran dan babi.

Harga makanan juga meningkat 7.6 peratus tahun ke tahun manakala inflasi bukan makanan meningkat satu peratus pada Mac. Sejak Januari, data IHP dikira menggunakan asas perbandingan baharu yang mengambil kira produk dan perkhidmatan baharu, yang mencerminkan perubahan dalam corak penggunaan.

Seorang lelaki berjalan di lorong berhampiran sebuah pasar di Beijing dengan membawa belian sayur-sayuran kelmarin. – AFP
Seorang lelaki berjalan di lorong berhampiran sebuah pasar di Beijing dengan membawa belian sayur-sayuran kelmarin. – AFP

Pelarasan itu menurunkan sedikit wajaran ke atas makanan yang sebelum ini menyumbang hampir satu pertiga daripada pengiraan IHP.

Indeks Harga Pengeluar yang mengukur inflasi borong, susut 4.3 peratus tahun ke tahun pada Mac, turun daripada 4.9 peratus pada Februari dan 5.3 peratus lebih rendah pada Januari.