Indeks Harga Pengguna menurun

Indeks Harga Pengguna menurun

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Oktober 2015 menurun 0.4 peratus berbanding September 2015 disebabkan oleh penurunan beberapa indeks barangan.

Penurunan sebanyak 2.6 peratus telah dicatatkan bagi perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah disebabkan penurunan kos bagi perabot dan perhiasan, tekstil isi rumah, perkakas isi rumah utama sama ada elektrik atau tidak, barangan kaca, pinggan mangkuk dan kelengkapan isi rumah, peralatan kecil dan pelbagai kelengkapan isi rumah serta barangan isi rumah yang tidak tahan lama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, indeks pakaian dan kasut juga menurun sebanyak 5.5 peratus disebabkan oleh harga yang rendah bagi kebanyakan bahan-bahan untuk pakaian, pakaian dan baju serta kasut.

Pelbagai barangan dan perkhidmatan menurun sebanyak 0.9 peratus berikutan penurunan harga bagi peralatan bukan elektrik bagi penjagaan diri, barangan untuk kebersihan diri, produk kecantikan, lain-lain produk bagi penjagaan diri, jam serta beg dan barangan perjalanan.

Sementara itu, peningkatan sebanyak 1.6 peratus telah dicatatkan bagi indeks rekreasi dan kebudayaan disebabkan oleh kos yang tinggi bagi peralatan audio-visual, komputer dan aksesori komputer serta pakej percutian/umrah.

Pengangkutan juga meningkat sebanyak 0.3 peratus disebabkan oleh harga yang tinggi bagi pembelian kereta serta perkhidmatan pengangkutan melalui udara.

Manakala itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain meningkat kurang dari 0.05 peratus secara keseluruhan disebabkan oleh peningkatan kos bagi barangan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kediaman.

Menurut kenyataan itu lagi, IHP bagi Oktober 2015 menurun 0.7 peratus berbanding Oktober 2014 yang mana sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan; perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah; dan pendidikan.

IHP ini adalah petunjuk bagi mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa tertentu.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berasaskan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan Oktober 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di alamat www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA