Indeks keyakinan pengguna naik

Indeks keyakinan pengguna naik

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Indeks keyakinan pengguna Malaysia naik lima mata kepada 94 pada suku pertama tahun ini, demikian menurut Kajian Keyakinan Pengguna dan Keinginan Untuk Berbelanja Global oleh Nielsen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nielsen berkata, Malaysia kini di tempat ke-22 sebagai negara paling yakin di peringkat global berbanding tempat ke-27 pada suku sebelum ini manakala purata keyakinan pengguna global ialah 97 mata.

Kajian itu melibatkan 30,000 responden dengan akses Internet di 60 negara. Paras keyakinan pengguna di atas dan di bawah garisan asas 100 menunjukkan tahap keyakinan dan ketidakyakinan.

Pengurus Negara Malaysia Nielsen, Richard Hall berkata, peningkatan pada suku pertama itu disebabkan kejatuhan harga minyak.

Kajian itu menunjukkan 47 peratus rakyat Malaysia menyebut ekonomi sebagai kebimbangan utama dengan 22 peratus bimbang mengenai kenaikan harga makanan dan 21 peratus bimbang mengenai jaminan pekerjaan.

Di rantau ini, pengguna Indonesia adalah yang kedua paling yakin di peringkat global dengan tahap keyakinan pengguna naik dua mata kepada 123, diikuti Filipina (115), Thailand (114), Vietnam (112) dan Singapura (100). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA