Indeks Pelopor susut 1.9 peratus

Indeks Pelopor susut 1.9 peratus

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Indeks Pelopor (IP), yang memantau prestasi ekonomi Malaysia ke hadapan, susut 1.9 peratus kepada 115.2 mata pada Julai 2016 berbanding 117.4 mata pada bulan sebelumnya.

Ini disebabkan penurunan dalam semua komponen IP kecuali bilangan unit kediaman yang diluluskan dan jangkaan nilai jualan dalam sektor pembuatan, masing-masing mencatatkan 0.2 peratus.

Perubahan tahunan IP pada bulan rujukan turun berbanding Jun 2016, menurut Jabatan Perangkaan dalam laporan ‘Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Julai 2016’.

Indeks Serentak (IS), yang mengukur aktiviti ekonomi semasa, merosot sebanyak 0.9 peratus pada bulan rujukan.

Dua komponen yang mencatatkan peratusan penurunan tertinggi adalah Kapasiti Penggunaan dalam Sektor Pembuatan dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, masing-masing mencatatkan negatif 0.4 peratus.

Bagaimanapun, perubahan tahunan IS kekal pada 2.4 peratus pada Julai 2016, menurut jabatan itu.

IS mengekalkan perubahan tahunannya pada Julai 2016 tetapi IP mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

Paras Indeks Difusi bagi IS mencecah 50.0 peratus manakala Indeks Difusi bagi IP, 42.9 peratus.

“Berdasarkan senario ini, pertumbuhan ekonomi dijangka pada kadar perlahan dalam tempoh terdekat,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA