Indeks pengeluaran perindustrian Malaysia meningkat

Indeks pengeluaran perindustrian Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat sebanyak 2.7 peratus kepada 127.2 peratus pada Disember 2015 berbanding tempoh sama pada 2014 didorong pertumbuhan positif indeks pembuatan dan elektrik.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata indeks pembuatan meningkat sebanyak 4.0 peratus manakala indeks elektrik bertambah sebanyak 5.6 peratus namun indeks perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 1.5 peratus.

Bagi November 2015, IPP kekal tidak berubah pada 1.8 peratus bagi tahun ke tahun.

“Dalam terma pelarasan musim, IPP pada Disember 2015 meningkat sebanyak 2.8 peratus bulan ke bulan berikutan kenaikan dalam indeks pembuatan (3.6 peratus), perlombongan (2.5 peratus) dan elektrik (3.5 peratus),” kata kenyataan itu. Berasaskan tahun ke tahun, output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.0 peratus pada Disember 2015 selepas mencatat pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Subsektor utama yang mencatat pertumbuhan pada Disember 2015 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (8.6 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.6 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.0 peratus).

Menurut jabatan itu, output sektor perlombongan mencatat penurunan sebanyak 1.5 peratus pada Disember 2015 berbanding bulan sama pada 2014 berikutan kemerosotan indeks gas asli (3.0 peratus) dan indeks minyak mentah (0.3 peratus). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA