Indeks pengurusan pembelian China naik

Indeks pengurusan pembelian China naik

BEIJING, 23 Jun (Bernama) – Aktiviti pembuatan China meningkat ke paras tertinggi dalam tiga bulan kepada 49.6 pada Jun berbanding 49.2 pada Mei, demikian menurut indeks pengurus pembelian (PMI) awal yang dikeluarkan HSBC pada Selasa.

Bagaimanapun, angka berkenaan masih di bawah had 50 pengembangan/penguncupan.

Bacaan PMI di atas 50 mata menunjukkan pengembangan dalam sektor pembuatan manakala di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

Laporan juga menyatakan indeks pembuatan China naik ke paras tinggi dalam dua bulan pada 50.0 pada Jun, naik daripada 49.3 pada Mei.

Pakar ekonomi, Annabel Fiddes berkata sektor pembuatan sebaliknya menunjukkan tanda-tanda peningkatan setelah output stabil dengan pertambahan sedikit dalam jumlah kerja baru, manakala aktiviti pembelian juga menokok sedikit.

“Sebaliknya, pengeluar terus mengurangkan bilangan kakitangan mereka, dengan pengurangan terkini yang paling ketara dalam lebih enam tahun,” kata Fiddes dalam kenyataan, sambil menambah bacaan itu menunjukkan syarikat menjangka pertumbuhan perlahan setelah keadaan permintaan di dalam dan luar negara kekal agak rendah.

“Data ini menambah bukti bahawa sektor ini telah kehilangan momentum pertumbuhan pada suku kedua secara keseluruhan, dan mencadangkan bahawa pihak berkuasa boleh meningkatkan usaha untuk merangsang pertumbuhan dan mewujudkan peluang pekerjaan pada separuh kedua tahun ini,” kata Fiddes.

Pertumbuhan China menjadi perlahan kepada 7.4 peratus pada 2014, kadar terendah dalam 24 tahun.

Negara itu menetapkan sasaran pertumbuhan pada kira-kira tujuh peratus bagi tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA