Indera naib juara Liga Super

Indera naib juara Liga Super

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Indera SC sah naib juara Liga Super DST 2015 tanpa perlu bermain hari ini apabila pesaing terdekatnya, Najip i-Team tewas 4-5 kepada Wijaya FC petang tadi, tetapi Najip i-Team perlu berpuas hati kerana tempat ketiga sudah pasti menjadi miliknya.

Najip i-Team dalam laluan tepat merampas kedudukan kedua dari Indera SC apabila mendahului 4-3 pada minit ke-74 dan masih mendahului ketika masa sebenar perlawanan hanya berbaki tiga minit.

Awangku Anaqi Sufi bin Pengiran Haji Omar Baki mengejutkan Fardillah bin Haji Md Ali di gawang Najip i-Team dengan voli daripada petak lawan pada minit ke-87 selepas menerima hantaran lintang di sebelah sayap kiri untuk mengikat kedudukan 4-4.

Gol kemenangan Wijaya FC hadir pada minit ke-90 menerusi rembatan kaki kiri ketua pasukannya, Marhazif bin Ahad, yang menerjah jaring kiri sebelah bawah gawang Najip i-Team, melangkaui jangkauan Fardillah yang sudah melayangkan badannya ke kiri.

Perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu diterajui Najip i-Team apabila Mohd Azri bin Zahari menemui sasarannya di gawang Wijaya FC pada minit ke-9, namun Khalil Saab berjaya menyamakan kedudukan sepuluh minit kemudian.

Awangku Anaqi (kanan) menjaringkan gol keempat, Marhazif (dua kiri) mencetak gol kelima. Khalil (kiri) pula menjaringkan dua gol ketika Wijaya FC menewaskan Najip i-Team.
Awangku Anaqi (kanan) menjaringkan gol keempat, Marhazif (dua kiri) mencetak gol kelima. Khalil (kiri) pula menjaringkan dua gol ketika Wijaya FC menewaskan Najip i-Team.

Muhd Nabil Arif bin Talipudin memastikan Najip i-Team terus di depan dengan ledakan golnya pada minit ke-39 untuk membawa kedudukan 2-1 sehingga rehat.

Dua minit selepas perlawanan bersambung semula, kedudukan seimbang semula 2-2, menerusi jaringan Abdul Azim bin Abdul Rasid. Wijaya FC buat pertama kalinya mendahului perlawanan, dengan jaringan 3-2, apabila Khalil mencatat gol kedua peribadinya pada minit ke-57.

Perlawanan semakin menarik apabila Najip i-Team mengejar dan berjaya menyamakan kedudukan 3-3, menerusi jaringan kedua peribadi Muhd Nabil Arif pada minit ke-69.

Abdul Afiq bin Roslan membawa Najip i-Team menerajui perlawanan buat kali ketiga dengan sumbangan golnya pada minit ke-74, kini mendahului 4-3 pula.

Kemenangan buat Wijaya FC itu membolehkannya menamatkan kempen Liga Super DST musim ini dengan mengumpul 31 mata, kekal di tempat keempat, lima mata di belakang Najip i-Team (36 mata), yang juga sudah sahih memenangi tempat ketiga musim ini, mengulangi kedudukannya musim lalu.

Najip i-Team, jika menang perlawanan terakhirnya petang ini akan mengumpul 39 mata, satu mata di atas Indera SC yang masih berbaki dua permainan lagi. Kemenangan pasti akan memberi tekanan kepada Indera SC untuk mencatat kemenangan satu daripada dua baki perlawanannya untuk memastikan naib juara menjadi miliknya.

Namun dengan hakikat kekalahan Najip i-Team itu, dua perlawanan terakhir Indera SC hanya sebagai pelengkap jadual perlawanannya, tatkala tiga tempat teratas sudah sah menjadi milik MS ABDB (juara), Indera SC (naib juara) dan Najip i-Team (ketiga).

Kemenangan itu membolehkan Indera SC mengumpul 38 mata sekali gus membuka jarak lima mata dengan pesaing terdekatnya, Najip i-Team tatkala kedua-dua pasukan sama-sama sudah bermain enam belas kali dan masing-masing ada baki dua perlawanan lagi.

Untuk mengesahkan naib juara liga menjadi miliknya, kini Indera SC hanya perlu menang satu daripada baki dua permainan ataupun seri kedua-dua baki perlawanan itu kerana jumlah mata maksimum yang mampu dikumpul Najip i-Team hanyalah 39 mata, jika ia menang semua baki permainan.