Indera SC belasah Najip i-Team 4-0

Indera SC belasah Najip i-Team 4-0

TUTONG, 21 Okt – Indera SC melambatkan sedikit keraian MS ABDB menjulang kejuaraan Liga Super DST 2015 kepada sekurang-kurangnya satu perlawanan lagi apabila mempamerkan kehebatannya yang seakan merudum musim ini dengan catatan kemenangan bergaya 4-0 ke atas pencabar terdekatnya, Najip i-Team.

Kemenangan yang dicapai itu membolehkannya merampas kembali kedudukan kedua liga dari Najip i-Team, dengan mengumpul 32 mata dari 14 permainan, dua mata di atas Najip i-Team yang sudah bermain 15 kali.

Hanya berbaki 12 mata maksimum untuk dikutip, Indera SC ternyata terus berjuang untuk mempertahankan kejuaraannya yang semakin menipis dengan harapan MS ABDB akan ditimpa kekalahan demi kekalahan dalam ketiga-tiga baki perlawanannya.

Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Tutong malam tadi , Indera SC mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Awangku Nurul Aleshahnezan bin Pengiran Metali pada minit ke-14 dan kemudiannya Mohammad Afi Aminuddin pada minit ke-16.

Mohammad Asri bin Haji Aspar menjadikan kedudukan 4-0 pada separuh masa kedua apabila berjaya membolosi gawang Najip i-Team pada minit ke-47 dan ke-65.

Tewas buat kali yang kelima musim ini, Najip i-Team jatuh semula ke tempat ketiga dengan 30 mata dari 15 permainan, masih 6 mata di atas dua pesaing di bawahnya, Wijaya FC (14 permainan) dan Tabuan Muda (15 permainan). – Hasrulraizan

Mohammad Asri menyumbangkan dua gol dalam kemenangan 4-0 Indera SC ke atas Najip i-Team.
Mohammad Asri menyumbangkan dua gol dalam kemenangan 4-0 Indera SC ke atas Najip i-Team.