Indera SC benam Setia Perdana, mara suku akhir

Indera SC benam Setia Perdana, mara suku akhir

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 12 Nov – Indera SC kini dalam laluan tepat untuk menetapkan sasarannya merebut Piala FA DST 2015 apabila menjadi pasukan pertama layak ke peringkat suku akhir selepas mudah menewaskan Kelab Liga Perdana DST 2015,Setia Perdana dengan jaringan 5-1.

Dengan kejuaraan Liga Super DST 2015 sudah terlepas daripada genggamannya, direbut oleh MS ABDB yang merupakan juara bertahan Piala FA DST, maka fokus Indera SC kini adalah untuk menidakkan kejuaraan berganda kepada MS ABDB sekali gus merebut Piala FA DST daripadanya.

Perlawanan di Kompleks Sukan Tutong (KST) itu terbukti berat sebelah apabila Indera SC sudah jauh di depan dengan jaringan 5-0 ketika separuh masa pertama baru berlangsung 39 minit, dengan penyerang berbisanya, Hamizan Aziz bin Sulaiman mencatat hatrik.

Mohd Zulkhairy bin Razali membawa Indera SC di depan seawal minit ke-10 sebelum Hamizan Aziz membuka tirai jaringan peribadinya pada minit ke-18 untuk gol kedua Indera SC.

Tujuh minit kemudian kedudukan bertambah selesa buat Indera SC apabila giliran Mohd Asri bin Haji Aspar pula mencatat namanya dalam senarai penjaring untuk merubah kedudukan jaringan menjadi 3-0.

Indera SC muncul pasukan pertama mara ke suku akhir Piala FA DST 2015 selepas menewaskan Setia Perdana 5-1.
Indera SC muncul pasukan pertama mara ke suku akhir Piala FA DST 2015 selepas menewaskan Setia Perdana 5-1.

Pada minit ke-30, Indera SC terus memacu ke depan dengan ledakan jaringan kedua peribadi Hamizan Aziz untuk gol keempat pasukannya.

Masuk minit ke-39 perlawanan, Hamizan Aziz sudah berjaya mencetak hatrik Indera SC kini mendahului 5-0 tatkala separuh masa pertama perlawaan hanya berbaki enam minit lagi.

Berbeza dengan Indera SC yang sebelum ini dikenali lebih garang dan bertenaga di separuh masa kedua, ternyata pendahuluan 5-0 membuatkan mereka bermain lebih tenang dan hanya bermain untuk mengawal bola selama mungkin.

Taktik itu berhasil menghampakan pasukan lawan tetapi mengundang padah pada minit ke-79 apabila Setia Perdana mendapat peluang yang jarang dan tidak mensia-siakannya untuk mendapatkan gol saguhati hasil rembatan Mohd Nazhim bin Haji Suhaili.