Indera SC ke separuh akhir

Indera SC ke separuh akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Indera SC menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir Piala FA DST 2015 apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mengikat MS PDB 2-2 sebelum menang agregat 8-7 selepas tendangan penalti penentuan.

MS PDB mengemudi perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu seawal minit ke-7 hasil jaringan penjaring utamanya, Lans Korporal Jasriman bin Haji Johari. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga rehat.

PC Mohd Fazizzul bin Hussin kemudiannya melakar jaringan kedua MS PDB hanya sebelas minit selepas rehat sekali gus memberikan MS PDB pendahuluan selesa 2-0.

Indera SC yang terkenal semakin berbahaya di separuh masa kedua membuktikannya apabila berjaya menjaringkan dua gol hanya dalam tempoh sembilan minit untuk mengikat kedudukan 2-2.

Indera SC menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir Piala FA DST 2015 selepas menang agregat 8-7 ke atas MS PDB.
Indera SC menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir Piala FA DST 2015 selepas menang agregat 8-7 ke atas MS PDB.

Gol pertamanya dijaringkan oleh Endi Susanto pada minit ke-60 disusuli dengan gol kedua dan penyamaan Indera SC pada minit ke-68 oleh Awangku Mohd Azrul Ariffin bin Pengiran Haji Metussin.

Di sebalik penghasilan tiga gol hanya dalam tempoh dua puluh tiga minit babak kedua itu, tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan dalam tempoh baki dua puluh dua minit masa sebenar menyebabkan perlawanan terpaksa diteruskan ke masa tambahan.

Ketika masa tambahan juga turut gagal menentukan pasukan mana yang layak ke separuh akhir, sepakan penalti penentuan pula dijalankan dan kesudahannya Indera SC menang 6-5 untuk menempah tiket separuh akhir dengan agregat 8-7.

ARTIKEL YANG SAMA