Indera SC kembali huni tangga kedua

Indera SC kembali huni tangga kedua

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Indera SC kembali menghuni tangga kedua Liga Super DST 2015 setelah menang 4-1 ke atas pasukan tercorot, Kilanas FC walau bermain tanpa beberapa orang pemain utamanya akibat digantung seperti Hamizan Aziz bin Sulaiman, Muhd Nur Ikhwan bin Othman dan Muis bin Sisa.

Separuh masa pertama perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu berlangsung sengit dengan hanya jaringan Mohd Asri bin Haji Aspar pada minit ke-27 hasil larian solo dari sayap kanan menjadi pemisah kedua-dua pasukan untuk Indera SC mendahului 1-0.

Gol kedua Indera SC pula hanya hadir pada minit ke-61 menerusi sepakan penalti Awangku Nurul Aleshahnezan bin Pengiran Metali, namun dua minit kemudian kedudukan menjadi 1-2 apabila giliran Izzul Wazzien bin Osman pula merembat gol masuk daripada sepakan penalti untuk Kilanas FC.

Ketika Kilanas FC melihat peluang terbuka luas buatnya mengejar selepas jaringan Izzul Wazzien itu, Mohd Zulkhairy bin Razali membuka semula jarak jaringan dengan golnya pada minit ke-72 untuk Indera SC kini mendahului 3-1.

Dua minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Mohd Zulkhairy meledakkan gol kedua peribadinya dan gol keempat pasukan untuk segera mematikan semangat kebangkitan Kilanas FC yang masih bersisa sekali gus memberikan Indera SC tiga mata penting menerusi kemenangan 4-1 berkenaan.

Aksi perlawanan Liga Super DST 2015 antara Indera SC (hijau) dengan Kilanas FC yang dimenangi Indera SC 4-1.
Aksi perlawanan Liga Super DST 2015 antara Indera SC (hijau) dengan Kilanas FC yang dimenangi Indera SC 4-1.

Dengan kejuaraan sudah dalam genggaman MS ABDB, kemenangan Indera SC itu jelas menyemarakkan perebutan naib juara Liga Super DST 2015 untuknya mengambil semula kedudukan kedua liga dengan 35 mata dari 15 permainan, dua mata di atas Najip i-Team yang sudah bermain 16 kali.

MS ABDB sudah mengesahkan statusnya sebagai Juara Liga Super DST 2015 selepas membelasah pasukan tercorot, Kilanas FC dengan jaringan 6-1 pada 23 Oktober lalu untuk mengumpul 45 mata, jumlah yang tidak lagi dapat dikejar mana-mana pasukan termasuk Indera SC dan Najip i-Team. Indera SC secara matematiknya hanya akan berjaya mengumpul 44 mata maksimum jika memenangi baki perlawanannya, sementara Najip i-Team hanya akan mampu mengumpul 39 mata maksimum.

Indera SC kini hanya memerlukan 4 mata dari tiga baki perlawanannya untuk mengesahkan status naib juara menjadi miliknya, berkat kelebihan jaringan yang lebih besar dan bolos yang lebih rendah berbanding Najip i-Team, jika sekiranya kedua-dua pasukan terikat 39 mata di penghujung liga.

Najip i-Team pula kekal berpeluang merampas gelaran naib juara itu jika menang kedua-dua baki perlawanannya untuk mengumpul 39 mata sambil berharap Indera SC tewas dua daripada tiga baki perlawanannya untuk hanya mengumpul 38 mata.

ARTIKEL YANG SAMA