Indera SC menang 4-1 ke atas IKLS FC

Indera SC menang 4-1 ke atas IKLS FC

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 16 Dis – Indera SC berpeluang mengubati lukanya terlepas mempertahankan kejuaraan Liga Super DST musim ini apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala FA DST 2015 malam tadi dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas IKLS FC.

Kejayaannya mara itu menidakkan kembara dongeng IKLS FC berakhir dengan kegembiraan walaupun buat seketika kegembiraan itu seolah-olah di depan mata IKLS FC ketika kedudukan 1-1 mencecah sehingga minit ke-80 perlawanan.

Separuh masa pertama berakhir 1-0 memihak Indera SC, hasil jaringan Muhd Nur Ikwan bin Othman pada minit ke-35.

Kedudukan tidak berubah sehingga rehat dan ketika perlawanan disambung ke separuh masa kedua, IKLS FC jelas bermain untuk menang sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Atifuddin @ Amir Mumduh bin Momin pada minit ke-61.

Hamizan (depan, 2 dari kiri) dan Mohd Nur Ikwan (belakang, 3 dari kanan) masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu Indera SC menang 4-1 ke atas IKLS FC.
Hamizan (depan, 2 dari kiri) dan Mohd Nur Ikwan (belakang, 3 dari kanan) masing-masing menjaringkan dua gol bagi membantu Indera SC menang 4-1 ke atas IKLS FC.

IKLS FC kelihatan berjaya mengimbangi kekuatan naib juara Liga Super DST 2015 itu sehinggalah sepuluh minit terakhir perlawanan apabila Indera SC mula melakukan tugasannya memuktamadkan perlawanan melangkaui jangkauan IKLS FC dengan ledakan tiga gol.

Hamizan Aziz bin Sulaiman meledakkan dua gol dalam tempoh tiga minit iaitu pada minit ke-81 dan ke-83 untuk segera memberikan Indera SC kelebihan dua gol pada kedudukan 3-1.

Kemudian Muhd Nur Ikwan bin Othman menambah luka IKLS FC sekali gus menamatkan segala peluang kebangkitan lewat dengan catatan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan, minit ke-90+1 sekali gus menamatkan perlawanan dengan kedudukan 4-1.

Indera SC kini hanya perlu menanti siapa lawannya di perlawanan akhir nanti, sama ada juara bertahan dan juara Liga Super DST 2015 yang baru dimahkotakan, MS ABDB ataupun pasukan kejutan, Tabuan Muda.