Indera SC, MS ABDB bersaing rebut juara

Indera SC, MS ABDB bersaing rebut juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 sekali lagi mempertemukan dua pesaing utama kejuaraan Liga Super DST Brunei iaitu Indera SC dan MS ABDB yang masing-masing berbagi satu kejuaraan Piala Sumbangsih DST antara mereka.

Justeru Piala DST Sumbangsih 2016 yang akan diadakan esok, 5 Mac 2016 di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) pada pukul 8:15 malam itu seolah-olah menjadi ‘set ketiga dan penentuan’ bagi kedua-dua pasukan.

Piala Sumbangsih DST Brunei yang buat kali ketiganya menjadi rebutan sebagai pembuka tirai Musim Liga Bolasepak Brunei itu telah dijulang oleh MS ABDB pada edisi 2014, manakala Indera SC menjulangnya pada edisi musim lalu, 2015.

Dalam sidang media di NFABD House petang tadi yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali, kedua-dua pasukan mengakui peluang kemenangan mereka adalah 50-50 iaitu siapa yang membuat kesilapan akan merana.

Pengurus Pasukan Indera SC, Haji Omar bin Haji Jamil tidak berselindung menyatakan sasaran utamanya musim ini adalah untuk memenangi Piala FA DST yang belum pernah dimenangi oleh mereka kerana dalam tiga musim kebelakangan, ketiga-tiganya dijuarai oleh MS ABDB.

Awang Mohd Afi (dua kiri) dan LKpl Awangku Mohd Safri (dua kanan) memegang Piala Sumbangsih DST sambil diapit oleh Haji Omar (kiri) dan Mej (U) Razanol Hardi (kanan).
Awang Mohd Afi (dua kiri) dan LKpl Awangku Mohd Safri (dua kanan) memegang Piala Sumbangsih DST sambil diapit oleh Haji Omar (kiri) dan Mej (U) Razanol Hardi (kanan).

Justeru, beliau melihat Piala Sumbangsih DST 2016 ini sebagai petanda penting hala tuju Indera SC dalam merebut kembali kejuaraan Liga Super DST dan kemudiannya menjulang Piala FA DST buat pertama kalinya.

Pendekatan Indera SC tetap sama iaitu setiap hari, setiap perlawanan adalah berbeza, bergantung kepada persembahan pemain atas padang dan juga cuaca, kerana kelemahan ketara Indera SC menurutnya adalah bermain semasa hujan, ujarnya tanpa berselindung.

Pengurus Pasukan MS ABDB, Mejar (U) Razanol Hardi bin Abdul Razak pula menegaskan MS ABDB menganggap semua perlawanan adalah untuk dimenangi dan walaupun bertemu dengan Indera SC, pasukan yang sering dijumpai mereka sama ada dalam perlawanan liga, Piala FA mahupun Piala Sumbangsih, setiap tahun adalah berbeza.

Maka beliau menegaskan MS ABDB akan bermain untuk menang walaupun kejayaan merangkul dua kejuaraan musim lalu, Liga Super DST dan Piala FA DST memberikan kesan kepada persiapan mereka kali ini kerana ramai pemain yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Kami mengalu-alukan cabaran dan sentiasa menjangkakan akan menghadapi cabaran sukar apabila berdepan dengan Indera SC,” tambahnya.

Untuk musim kali ini, Indera SC akan menampilkan empat atau lima orang pemain baru, manakala MS ABDB akan memperkenalkan dua atau tiga orang muka baru.

Turut hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Pasukan Indera SC, Awang Mohd Afi bin Aminuddin dan Ketua Pasukan MS ABDB, Lans Korporal Awangku Mohd Safri bin Pengiran Haji Othman.

Perlawanan dalam Liga Perdana DST Brunei 2016 yang akan bermula pada 11 Mac dengan dua perlawanan nanti akan diteruskan selepas Piala Sumbangsih DST Brunei 2016, manakala Liga Super DST Brunei 2016 pula dijadualkan bermula pada 12 Mac, juga dengan dua perlawanan.