Indera SC rampas takhta Liga Super

Indera SC rampas takhta Liga Super

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Indera SC merampas kembali persada Liga Super DST 2015 dari Najip I-Team yang menghuninya sementara apabila keluar sebagai pemenang 3-2 dalam perlawanan sengit dengan MS PDB malam tadi.

Najip I-Team berada di puncak Liga Super hanya 24 jam selepas menang 2-1 ke atas IKLS 23 Mei lalu.

Pada aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam tadi, Indera mendahului 2-1 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan ketua pasukannya, Hamizan Aziz (minit kelapan dan 43) dengan gol tunggal Jasriman Johari (minit ke-28) untuk MS PDB hadir di antara kedua-dua gol Hamizan berkenaan.

MS PDB kembali setara dengan Indera apabila Zulhamzi Haji Awang meledakkan jaringan hanya enam minit selepas separuh masa kedua bermula untuk mengikat kedudukan pada 2-2.

Kane Ryan yang baru dimasukkan pada pertengahan babak kedua memberikan Indera kelebihan di sayap kanan dengan kepantasannya sehingga dia berjaya mencipta ruang untuk merembat kencang dari dalam petak tatkala berjaya melepaskan diri daripada pertahanan MS PDB.

Indera SC (hitam) ketika beraksi menentang MS PDB dalam aksi Liga Super DST semalam.
Indera SC (hitam) ketika beraksi menentang MS PDB dalam aksi Liga Super DST semalam.

Walaupun percubaan itu berjaya dihadang dengan kaki oleh penjaga gol MS PDB, bola hanya melantun sejauh ke kaki Sam Prank di sebelah kiri yang terus merembat kencang menggegarkan gawang MS PDB untuk gol ketiga Indera pada minit ke-74.

Kedudukan 3-2 kekal tidak berubah sehingga pengadil meniupkan wisel penamat untuk kemenangan kelima Indera daripada lima perlawanan untuk mengumpul 15 mata, sama dengan Najip I-Team yang sudah bermain enam kali termasuk ditewaskan Indera 7-0 seminggu yang lalu.

MS ABDB yang mencatatkan kemenangan ketiga daripada tiga perlawanannya setakat ini, berada di kedudukan keempat dengan sembilan mata, sama dengan kutipan mata Wijaya FC yang sudah bermain lima kali.

Indera berada di puncak dengan kelebihan 22 jaringan dan tiga bolos, berbanding 14 jaringan dan 10 bolos buat Najip I-Team setakat ini. Najip I-Team berpeluang merebut semula tangga teratas liga apabila meneruskan cabarannya 27 Mei ini dengan menentang Jerudong FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), bermula jam 8:15 malam.