Indera SC tewaskan MS ABDB 2-1

Indera SC tewaskan MS ABDB 2-1

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Jaringan Awangku Mohd Haikal bin Pengiran Zaidi pada minit ke-80 memberikan tiga mata berharga kepada Indera SC dengan kemenangan 2-1 ke atas Lun Bawang malam tadi untuknya mencantas pendahuluan lapan mata MS ABDB kembali kepada lima mata saja.

Indera SC sememangnya sudah mendahului perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dengan jaringan 1-0 pada separuh masa pertama setelah Hamizan Aziz Sulaiman melakukan apa yang biasa dilakukannya iaitu menjaringkan gol, pada minit ke-31.

Walauupun jarang menyerang, namun dalam satu serangan berpasukan dengan hantaran-hantaran cantik dari tengah ke kanan, kemudian ke kiri, sebelum ke tengah semula membuka ruang untuk Amir Bujang meledakkan tendangan kencang ke sudut kanan gawang Indera SC bagi gol penyamaan Lun Bawang.

Jaringan Lun Bawang yang hadir pada minit ke-59 itu menjadikan perlawanan bertambah hebat dan sengit dengan kedua-dua pasukan kini fokus untuk mendapatkan jaringan kemenangan.

Kehadiran jaringan Awangku Md Haikal untuk gol kemenangan Indera SC sepuluh minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat itu menjadi penebus kepada kekalahan 0-2 Indera SC kepada Lun Bawang semasa pusingan pertama Liga Super DST 2015 Ogos lalu. Kemenangan itu membawa kutipan mata Indera SC kepada 28 mata dari 12 perlawanan untuknya kekal menghuni tangga kedua liga, berbanding 33 mata dikumpulkan MS ABDB dari 12 permainan mengekalkannya berada di puncak manakala Lun Bawang pula terus berada di tempat kesembilan liga dengan 8 mata dari 13 perlawanan, hanya satu mata di belakang IKLS FC yang baru bermain sebelas kali.