India akan hulur segala sokongan termampu kepada Nepal

India akan hulur segala sokongan termampu kepada Nepal

KATHMANDU, 8 Mei (Bernama) – India menyuarakan kesediaannya untuk memberi sokongan yang diperlukan Nepal bagi membantu mangsa gempa bumi dan melaksanakan program pembangunan semula di negara itu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar India Sushma Swaraj ketika beliau mengunjungi Kedutaan Nepal di New Delhi pada Khamis, kata kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Nepal di New Delhi.

Nepal dilanda gempa bumi kuat pada 25 April yang meragut lebih 8,000 nyawa.

Menurut kenyataan itu, Swaraj juga menandatangani buku takziah di kedutaan berkenaan serta menegaskan bahawa India akan sentiasa berada di sisi rakyat Nepal dan akan menghulurkan segala sokongan yang termampu.

Kenyataan itu juga memetik menteri berkenan sebagai berkata bahawa kerajaan dan rakyat India amat terkejut serta sedih dengan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat gempa bumi itu.

“Beribu-ribu orang maut dan banyak yang cedera di seluruh Nepal, manakala tapak bersejarah dan warisan dunia seperti Hanuman Dhoka, Patan, Bhaktapur, Swayambhu dan Dharahara telah musnah,” kata Swaraj.

Dalam perutusan takziahnya, Swaraj berkata sebagai kawan rapat dan jiran yang berkongsi hubungan bersejarah antara rakyat dengan rakyat, India berdiri teguh di samping Nepal dalam menghadapi detik-detik sukar itu.

“Kami sentiasa memberi sokongan penuh terhadap usaha bantuan yang dilaksanakan secara berterusan. Kami komited untuk membantu Nepal dalam fasa pemulihan mengikut keperluan dan keutamaan kerajaan Nepal.

“Saya kagum dengan semangat, keberanian dan daya tahan rakyat Nepal dalam menghadapi pelbagai kesulitan,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan kepada rakyat Nepal bahawa kerajaan dan rakyat India akan “berganding bahu dengan mereka serta memberi sokongan penuh kepada mereka untuk mengatasi segala kesulitan yang dialami”.

India adalah negara pertama yang menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke Nepal sejurus selepas berlakunya bencana alam itu.

ARTIKEL YANG SAMA