India bakal bina enam lagi reaktor nuklear

India bakal bina enam lagi reaktor nuklear

NEW DELHI, 24 Dis (Reuters) – India menjangka mencapai satu kontrak dengan Westinghouse Electric Co LLC untuk membina enam reaktor nuklear pada separuh tahun pertama tahun depan, menurut seorang pegawai kanan kerajaan, dalam satu petunjuk program tenaga nuklear bernilai AS$150 bilion akan dilancarkan.

Kilang tenaga yang dicadangkan di negeri asal Perdana Menteri, Narendra Modi di Gujarat akan mempercepatkan rancangan India untuk membina kira-kira 60 reaktor, yang akan menjadikannya pasaran tenaga nuklear kedua terbesar di dunia selepas China.

India mahu menambah kapasiti nuklearnya kepada 63,000 megawatt (MW) menjelang tahun 2031, daripada 5,780 MW, sebagai sebahagian daripada kempen yang lebih luas untuk beralih daripada bahan fosil, mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan mengelak kesan berbahaya perubahan iklim.

Amerika Syarikat menandatangani satu pakatan dengan India pada 2008, membuka laluan kepada perniagaan nuklear yang sebelumnya terjejas disebabkan program senjata nuklear New Delhi dan menjauhi Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) global.

Namun harapan di mana pembuat reaktor akan mendapat perniagaan baru berjumlah berbilion dolar lenyap selepas India menerima satu undang-undang pada 2010 sekali gus memberikan hak kepada operator Nuclear Power Corp of India Ltd (NPCIL) untuk mendapatkan bayaran pampasan daripada pembekal sekiranya berlaku satu kemalangan.

Gambar fail menunjukkan salah sebuah reaktor nuklear India di Tamil Nadu yang dibina oleh Rusia. – Agensi
Gambar fail menunjukkan salah sebuah reaktor nuklear India di Tamil Nadu yang dibina oleh Rusia. – Agensi

Pegawai India telah berusaha untuk meredakan kebimbangan pembekal, termasuk menubuhkan insurans dengan had maksimum liabiliti berjumlah 15 bilion rupee.

Sekatan terakhir – pengesahan Konvensyen Bayaran Pampasan Tambahan untuk Kerosakan Nuklear (CSC) Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa – dijangka dilakukan dalam beberapa minggu, kata pegawai kerajaan India.

CSC mewajibkan penandatangan memindah liabiliti kepada operator dan menawarkan kemudahan kepada dana bantuan.

Dalam satu kenyataan, Westinghouse berkata ia menjangka India akan bertindak untuk mencapai satu rangka kerja yang memuaskan CSC dan menyalurkan liabiliti kemalangan secara eksklusif kepada operator. Kenyataan tidak menyebut mengenai rundingan berterusan.

Saham syarikat induk Westinghouse, Toshiba Corp, meningkat sebanyak 3.3 peratus pada hari ini selepas berita itu, sebelum merosot semula. Seorang jurucakap Toshiba enggan memberi komen mengenai laporan itu, tetapi mendapati Westinghouse berasa yakin akan menerima tempahan daripada India.