India beri jaminan terhadap isu tertunggak

India beri jaminan terhadap isu tertunggak

NEW DELHI, 18 Okt – Syarikat Malaysia, terutama yang terlibat dalam projek prasarana di India, boleh menikmati persekitaran lebih mesra perniagaan susulan jaminan oleh menteri-menteri kanannya terhadap isu tertunggak yang dibangkitkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata syarikat Malaysia merasakan beberapa dasar Bank Rizab India (RBI) dan badan kawal selia lain tidak mesra perniagaan dan menyebabkan perluasan perniagaan mereka terbantut.

“Kekurangan kejelasan, dasar pemisah yang sepatutnya juga kabur dan kurang, menghalang pelabur daripada melabur dalam projek prasarana jalan dan tenaga,” katanya.

Fadillah berkata dasar RBI turut menyebabkan syarikat Malaysia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada bank tempatan dan asing, manakala pembiayaan pula lebih mahal berbanding negara lain.

“Apabila lebih banyak negeri di India mempelawa syarikat kita untuk melabur dalam projek prasarana mereka, terutama dalam projek ‘200 Smartcity’ di seluruh India, kedua-dua negara (India dan Malaysia) perlu menangani kesemua isu tertunggak dengan segera,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan rasmi lima harinya di India.

Fadillah, mengetuai delegasi 30 anggota, termasuk penggiat utama industri pembinaan dan pembangunan hartanah, berkata beliau menerima maklum balas memberangsangkan daripada Menteri Perdagangan dan Industri India, Nirmala Sitharaman serta Menteri Pembangunan Bandar, M. Venkaiah Naidu, berhubung isu berkenaan.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta anggota delegasi lain mencapai perbincangan positif mengenai projek berpotensi dengan rakan sejawat dari negeri Rajasthan dan Uttar Pradesh.

Fadillah yakin beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman akan dimeterai semasa lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Nov ini bagi Sidang Kemuncak ASEAN-India.

Lawatan pertama di Uttar Pradesh, Fadillah berkata Genting Group mencari peluang pelaburan bagi projek taman tema multi bilion di Noida, sebuah bandar yang baharu dibangunkan bersempadan Delhi, 30 kilometer daripada ibu negara.

Beliau berkata syarikat pembangunan hartanah tempatan, Jaypee Group menawarkan lebih daripada 400 hektar tanah untuk projek taman tema dan pembangunan bercampur.

Jaypee Group mengendalikan beberapa lebuh raya utama di India Utara serta litar F1 di Noida.

Di Rajasthan, Ketua Menteri berkenaan, Vasundra Raje mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur dalam fasa kedua projek landasan kereta api Metro di ibu negeri, Jaipur. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA