India enggan perbaharui visa wartawan Xinhua

India enggan perbaharui visa wartawan Xinhua

NEW DELHI, 25 Julai – India enggan memperbaharui visa sekumpulan wartawan daripada agensi berita China Xinhua, kata sumber kerajaan hari ini, selepas mereka dilaporkan mengadakan lawatan yang tidak dibenarkan ke kem pelarian Tibet.

Tatkala media rasmi Beijing mengecam apa yang digelarnya keputusan ‘remeh’, seorang pegawai kanan di New Delhi mengesahkan bahawa tiga wartawan perlu meninggalkan India dalam masa seminggu atas desakan perkhidmatan keselamatan.

“Mereka telah mendapat perhatian yang buruk agensi keselamatan,” beritahu pegawai kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan.

“Mereka menjalankan aktiviti yang tidak sesuai dengan status wartawan mereka.”

Pegawai berkata ketiga-tiga mereka tidak disingkirkan tetapi visa tahunan mereka tidak akan diperbaharui dan mereka perlu meninggalkan negara pada 31 Julai.

Tidak ada kenyataan rasmi tentang sebab-sebab wartawan telah terlibat dengan pihak berkuasa India.

Namun satu laporan dalam akhbar Hindustan Times hari ini berkata dua di antara mereka telah melawat petempatan Tibet di selatan negeri Karnataka pada tahun lalu, tanpa mendapatkan permit daripada kementerian dalam negeri dan menggunakan identiti palsu.

“Wartawan tidak mengambil PAP (Permit Kawasan Dilindungi) untuk melawat kem tetapi identiti sebenar mereka dikesan apabila mereka sampai ke sana,” beritahu pegawai kepada akhbar.

India menjadi tempat tinggal kepada beribu-ribu pelarian Tibet yang melarikan diri daripada tanah air Himalaya apabila China menghantar tentera pada 1951 untuk menumpaskan satu pemberontakan.

Kebanyakan mereka yang melarikan diri – termasuk pemimpin agama Tibet Dalai Lama – menetap di sekitar bandar utara India Dharamsala di mana kerajaan Tibet dalam buangan beroperasi.

Yang lainnya tinggal di petempatan tertentu di kawasan lain negara yang tidak dibenarkan dimasuki oleh warga asing, seperti petempatan di Karnataka yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 40,000 penduduk Tibet. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA