India haramkan ibu tumpang untuk warga asing

India haramkan ibu tumpang untuk warga asing

NEW DELHI, 29 Okt (AFP) – Kerajaan India semalam merancang mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang yang kini ditawarkan kepada warga asing yang mahukan anak damit.

Perkembangan itu mungkin akan menjejaskan industri berkenaan yang kini semakin pesat dan menguntungkan di negara itu.

“Kerajaan tidak menyokong ibu tumpang bagi tujuan komersial,” menurut satu afidavit kerajaan yang dikemuka kepada Mahkamah Agung.

Afidavit itu menyebut, tiada warga asing boleh mendapatkan perkhidmatan ibu tumpang di India, sambil menambah ibu tumpang hanya akan disediakan untuk pasangan India.

Ramai pasangan subur, sebahagian besar dari luar negara, ‘menyewa’ rahim wanita tempatan untuk mengandung dan melahirkan anak mereka.

Gambar fail 5 Februari 2013 ini menunjukkan seorang ibu tumpang sedang menunggu giliran untuk temu janji dengan doktor di sebuah klinik di New Delhi. India semalam merancang mengharamkan perkhidmatan ibu tumpang yang kini ditawarkan kepada warga asing yang mahukan anak damit. – AFP

Kegiatan itu semakin mendapat tentangan ramai kerana dikhuatiri perniagaan yang tidak terkawal itu bakal mengeksploitasi wanita miskin, memaksa petisyen itu dikemukakan kepada mahkamah untuk tindakan.

Kerajaan, menerusi afidavit yang dikemukakan kepada mahkamah di Delhi oleh Peguam Cara Negara, Ranjit Kumar, berkata ia memerlukan sedikit masa untuk membolehkan undang-undang itu dilaksana.

“Kerajaan akan melarang dan menghukum perkhidmatan ibu tumpang komersial,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA