India haramkan Maggi

India haramkan Maggi

NEW DELHI, 5 Jun (AFP) – Nestle berkata hari ini ia sedang mengeluarkan mi segera Maggi daripada jualan di India selepas satu kegemparan mengenai isi kandungan plumbum berlebihan yang telah melihat snek amat popular itu dibakar di jalan raya dan diharamkan buat sementara waktu di beberapa negeri.

Tatkala ia cuba membendung skandal meningkat itu, pembuat makanan terkenal di dunia itu berkata walaupun mi Maggi adalah selamat, ia telah memutuskan untuk menarik balik produk itu disebabkan “kebimbangan yang tidak berasas” telah membawa kepada “suasana mengelirukan.”

Sekurang-kurangnya enam negeri termasuk ibu negara India telah mengumumkan pengharaman sementara ke atas jualan mi segera itu dalam beberapa hari lalu, selepas pegawai berkata keputusan ujian menunjukkan tahap plumbum yang tinggi.

Aktivis di timur bandar Kolkata semalam membakar paket mi dalam bantahan, sekaligus menekankan tahap kemarahan orang awam.

Selepas dikecam teruk kerana gagal bertindak pantas dan memutuskan segera perkara itu, Nestle akur dengan tekanan awal hari ini dan mengumumkan penarikan balik produk itu di seluruh India.

Paul Bulcke ketika sidang media. – Reuters
Paul Bulcke ketika sidang media. – Reuters

Dalam usaha meredakan kebimbangan makanan paling signifikan India dalam masa hampir sedekad, ketua eksekutif gergasi makanan Swiss itu, Paul Bulcke menenangkan pengguna dalam persidangan media disiarkan secara langsung hari ini. Walau bagaimanapun, dia berhadapan sidang media yang agar kucar-kacir di mana dia sering kali dijerit oleh wartawan India.

Menambah lagi parah Nestle, pengatur keselamatan makanan India turut mengeluarkan kenyataan ketika sidang media itu berakhir, menuduh gergasi makanan itu mencabuli pelabelan dan peraturan lain di India. Ia mengarahkan penarikan balik mi segera yang dikatakan ‘tidak selamat dan membahayakan’ bagi pemakanan manusia.

“Kami adalah syarikat yang berkembang atas kepercayaan pelanggan kami,” kata Bulcke memberitahu sidang media yang padat di New Delhi, mengulangi bahawa ia sudah menarik balik mi segera untuk menenangkan minda-minda pelanggan yang ‘terkejut’ namun tidak ada kebimbangan keselamatan Nestle telah menjual jenama Maggi di India selama tiga dekad dan mempunyai 80 peratus daripada pasaran mi segera negara.

Produk itu – dipasarkan sebagai snek segera dan sihat – semakin popular tatkala semakin ramai penduduk India berpindah dari rumah mereka untuk belajar atau mendapatkan pekerjaan.

Ia muncul sebagai salah satu daripada lima jenama paling dipercayai di India dalam satu tinjauan pengguna yang dijalankan pada tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA