India ikrar tuntut balik berlian Koh-i-Noor

India ikrar tuntut balik berlian Koh-i-Noor

NEW DELHI, 20 April (AFP) – Kerajaan India hari ini dituduh mengubah pendiriannya berhubung berlian Koh-i-Noor, selepas berikrar akan menuntut balik batu permata berharga itu, beberapa hari selepas peguam cara berkata permata itu telah dihadiahkan kepada Britain.

Batu permata Koh-i-Noor 108 karat itu yang dipegang oleh pihak Britain ketika era penjajahan, menjadi perkara pertikaian hak pemilikan bersejarah dan telah dituntut oleh kira-kira empat buah negara termasuklah India.

Tetapi peguam cara India Ranjit Kumar mengejutkan ramai pihak Isnin lalu apabila dia mengatakan batu permata itu tidak dicuri, dan sebaliknya raja Sikh abad ke-19 Ranjit Singh telah memberikannya kepada Britain.

Ia kini dipasang pada mahkota yang pernah dipakai oleh ibunda Ratu Elizabeth sehingga kemangkatannya dalam tahun 2002, dan telah dipamerkan kepada awam di Tower of London.

Kerajaan berkata Kumar hanya menerangkan sejarah berlian itu kepada Mahkamah Tinggi dan juga pandangan pentadbiran sebelumnya tentang batu permata itu sebagai hadiah.

Gambar fail yang diambil pada 29 Januari 2002 menunjukkan model India menunjukkan replika berlian Koh-i-Noor yang terkenal kepada media di Calcutta. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 29 Januari 2002 menunjukkan model India menunjukkan replika berlian Koh-i-Noor yang terkenal kepada media di Calcutta. – AFP

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, kerajaan berkata ia akan ‘berusaha sedaya upaya untuk membawa balik’ berlian itu ‘dalam cara persahabatan’.

“Kerajaan India masih mengharapkan hasil secara persahabatan India mendapat balik kepingan seni berharga itu yang mempunyai asal usul kuat sejarah negara kita,” menurut kerajaan lagi.

Kumar memberi respons di mahkamah kepada rayuan petisyen dari pertubuhan bukan kerajaan yang mahu pengembalian berlian itu.

Parti pembangkang utama, Parti Kongres yang juga menyokong pengembalian batu permata itu, menuduh kerajaan mengubah pendirian selepas ulasan Kumar yang mencetuskan kemarahan dari pelbagai kumpulan politik.

“Berhubung #KohinoorDiamond, #ModiSarkar bukan saja mengubah pendirian. Ia telah melakukan kegagalan sepenuhnya.” Jurucakap Parti Kongres Sanjay Jha berkata di Twitter, merujuk kepada kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

Pemimpin parti nasionalis Hindu, RSS ketua ideologi parti memerintah Modi, minggu ini mengisytiharkan berlian itu ‘harta India.”

ARTIKEL YANG SAMA