India import 783,734 tan minyak sawit

India import 783,734 tan minyak sawit

KUALA LUMPUR, 14 Okt – India, pengimport minyak makan terbesar dunia, mengimport 783,734 tan minyak sawit pada September 2015, susut sedikit berbanding 810,594 tan pada Ogos 2015, menurut Persatuan Pengekstrak dan Pelarut India hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu berkata jumlah import minyak sayuran India bagi bulan itu meningkat 16 peratus kepada 1.21 juta tan berbanding 1.04 juta tan pada September 2014, terdiri daripada 1.20 juta tan minyak makan dan 11,039 tan minyak bukan untuk makan.

Keseluruhan import minyak sayuran November 2014 hingga September 2015 dilaporkan sebanyak 12.94 juta tan berbanding 10.57 juta tan, naik sebanyak 22 peratus, katanya.

Katanya stok semasa minyak makan sehingga 1 Okt, 2015 di pelbagai pelabuhan dianggarkan 780,000 tan, dengan minyak sawit mentah menyumbang 350,000 tan; minyak bertapis, olein sawit larut dan wangi (85,000 tan); minyak kacang soya (200,000 tan); minyak mentah bunga matahari (85,000 tan); minyak sesawi (canola) (60,000 tonnes); dan kira-kira 1.46 juta tan dalam penghantaran.

Jumlah stok simpanan di pelabuhan dan dalam penghantaran merosot kepada 2.24 juta tan berbanding 2.32 juta tan sebelum ini, katanya.

Menurutnya lagi keperluan bulanan India kira-kira sebanyak 1.6 juta tan berbanding stok simpanan semasa melebihi 2.24 juta tan bersamaan dengan keperluan untuk 42 hari. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA