India, Iran capai perjanjian projek pelabuhan strategik

India, Iran capai perjanjian projek pelabuhan strategik

TEHRAN, Iran, 24 Mei (AP) – India berkata semalam ia akan melabur sehingga AS$500 juta dalam satu perjanjian untuk memajukan sebuah pelabuhan strategik di Iran dan kedua-dua negara itu merancang beberapa projek yang dikatakan oleh mereka bernilai beratus juta dolar.

Perjanjian dan rancangan itu diumumkan ketika satu lawatan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi, lawatan pertama seumpama itu dalam lebih satu dekad.

Dalam satu majlis yang menandakan perjanjian, Modi berkata perjanjian dua hala untuk memajukan Chabahar, di selatan Iran, dan “wang berjumlah $500 juta dari India untuk tujuan ini adalah satu peristiwa penting,” dalam hubungan di antara kedua-dua negara.

Presiden Hassan Rouhani berkata kerja-kerja ke atas pelabuhan boleh menjadi satu “simbol besar” kerjasama di antara Iran dan India. Beliau berkata sumber tenaga Iran dan lombong India boleh membuka laluan kepada kerjasama dalam industri aluminium, keluli dan petrokimia. Iran dan India juga menandatangani beberapa perjanjian untuk mempertingkat kerjasama teknologi, petrokimia dan perbankan.

Narendra Modi (kiri), bertemu dengan Hassan Rouhani di Istana Saadabad di Tehran, Iran, Isnin lalu. – AP
Narendra Modi (kiri), bertemu dengan Hassan Rouhani di Istana Saadabad di Tehran, Iran, Isnin lalu. – AP

Lewat semalam, kedua-dua pemimpin mencapai satu perjanjian mengenai projek pelabuhan dan ‘koridor transit’ dengan Presiden Afghan Ashraf Ghani, yang mengalu-alu perjanjian tiga pihak, berkata ia adalah untuk kepentingan negara serantau.

Pembangunan pelabuhan Chabahar dan jalan raya dan landasan kereta api menambah laluan perdagangan untuk negara Asia tengah yang memintas Pakistan. Bagaimanapun, Rouhani cuba memberi jaminan kepada Pakistan bahawa projek itu tidak bercanggahan dengan kepentingan Islamabad. “Perjanjian hari ini tidak akan bercanggahan dengan mana-mana negara dan aktiviti ketiga-tiga negara akan memenuhi keperluan seluruh rantau serta keamanan dan kestabilannya,” kata Rouhani selepas mesyuarat tiga pihak itu.

Modi bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei selepas itu. Dalam pertemuan, Khamenei menekankan bahawa “kempen memerangi keganasan boleh menjadi satu lagi bidang kerjasama,” di antara kedua-dua negara, lapor laman web pemimpin tertinggi itu.