India lancar ‘Hubble mini’

India lancar ‘Hubble mini’

NEW DELHI, 28 Sept (Reuters/AFP) – India melancarkan balai cerap penyelidikan angkasa lepas pertamanya dan beberapa satelit Amerika Syarikat (AS) hari ini, sebahagian usaha Perdana Menteri Narendra Modi untuk mengembangkan pengaruh negaranya dalam industri angkasa lepas sejagat yang kompetitif bernilai AS$300 bilion.

Balai cerap, bernama Astrosat seberat 150 tan, akan membantu ahli sains India mempergiatkan usaha penjelajahan angkasa lepas dengan mengkaji objek cakerawala jauh dan melakukan penganalisisan mendalam ke atas sistem bintang.

“Pelancaran ini adalah penting bagi sains astronomi,” Harsh Vardhan, menteri India bagi sains bumi, berkata dalam satu kenyataan.

“Kami menantikan penyelidikan prospektif.”

Pelancaran serentak enam satelit lain, empat satelit adalah bagi AS, dilaksanakan beberapa jam sebelum mesyuarat yang dijadualkan antara Modi dan Presiden AS Barack Obama.

Pelancar alat India meluncur naik dari Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan di Sriharikota pada 28 September, membawa Astrosat. – AFP
Pelancar alat India meluncur naik dari Pusat Angkasa Lepas Satish Dhawan di Sriharikota pada 28 September, membawa Astrosat. – AFP

Modi yakin dengan program penyelidikan angkasa lepas India dan berulang kali memuji usaha ahli-ahli sains beliau, yang tahun lalu mencatat sejarah di peringkat sejagat apabila misi Marikh kos rendah mereka memasuki orbit planet merah pada percubaan pertama kalinya.

Di sebalik kejayaan baru-baru ini, pertumbuhan program angkasa lepas India tersentap oleh ketiadaan pelancar lebih besar dan pelaksanaan perlahan misi – pada tahun 2007-2012 hanya kira-kira separuh dari 60 misi yang dirancang berjaya.

Pada bulan Disember, India berjaya menguji sebuah roket baru lebih kuat – Kenderaan Pelancar Satelit Geosynchronous (GSLV) Mark III – yang boleh membawa muatan lebih berat ke angkasa lepas, tetapi itu belum lagi beroperasi.

Astrostat dilaporkan bernilai 1.8 bilion rupee (AS$27 juta) itu dilihat sebagai versi lebih kecil Hubble Space Telescope, NASA yang telah dilancarkan pada tahun 1990.

Ia akan mampu mengesan objek dalam pelbagai jarak gelombang seperti X-ray, tetapi dengan ketepatan jauh lebih rendah dari Hubble, kata Mayank Vahia dari Institusi Yayasan Penyelidikan Tata.

“Ini akan membawa sedikit kelebihan komersial tetapi akan memperlihatkan kemampuan baru India dalam penyelidikan angkasa lepas,” kata Vahia, yang institusinya telah membuat tiga dari lima instrumen saintifik yang di dalam Astrosat.

Instrumen Astrosat akan menghantar data ke pusat kawalan di bandar selatan Bangalore yang akan mengendali satelit dalam tempoh misi selama lima tahun.