India mahu lakukan penerbangan tanpa henti paling jauh

India mahu lakukan penerbangan tanpa henti paling jauh

BENGALURU, India, 27 Sept (Agensi) – Syarikat penerbangan India bercadang mahu melakukan perjalanan penerbangan komersial tanpa henti paling jauh di dunia dari Bengaluru ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Syarikat Air India yang akan melakukan penerbangan sejauh 14,000 kilometer (km) itu dilaporkan bakal memakan masa antara 17 hingga 18 jam sebelum tiba ke destinasi.

Pada masa ini, penerbangan paling jauh di dunia dilakukan oleh syarikat penerbangan Qantas dengan jarak perjalanan 13,730km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Forth Worth di AS ke Sydney, Australia.

“Kami merancang untuk melakukan perjalanan tanpa henti sama ada dari Delhi atau Bengaluru ke San Francisco menggunakan pesawat Boeing 777-200,” kata seorang jurucakap Air India dalam satu kenyataan kepada Times of India.

Syarikat tersebut juga merangka untuk melakukan penerbangan terus dari bandar Ahmedabad ke London berikutan permintaan tinggi pelancongan antara dua bandar terbabit.