India mahu menjadi tarikan perniagaan

India mahu menjadi tarikan perniagaan

NEW DELHI, 28 Feb (Bernama) – India, yang memerlukan pelaburan prasarana berjumlah AS$1 trilion dalam tempoh 5 hingga 7 tahun akan datang, sedang berusaha menangani isu-isu penting seperti keperluan pembiayaan, menjadikan negara itu menarik bagi perniagaan.

“Syarikat kami pernah pernah kesukaran dalam mendapatkan dana daripada bank-bank tempatan,” kata Pengerusi MRCB Builders Sdn Bhd Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim.

Bagaimanapun, kebelakangan ini terdapat petunjuk daripada kerajaan pusat untuk menangani isu-isu itu serta halangan lain yang sering dihadapi pelabur di negara berkenaan, satu langkah yang akan menjadikan India kembali menjadi tumpuan pelabur.

Memandangkan syarikat Malaysia memiliki pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai projek prasarana di India, ia merupakan peluang baik untuk membida projek sekali lagi, kata Judin semasa di temui di sini, baru-baru ini.Ekonomi India dijangka tumbuh antara 7-7.5 peratus pada 2016/17.

Presiden Majlis Perniagaan Malaysia India Datuk Kuna Sittampalam berkata kelembapan ekonomi India antara 2008 dan 2014, telah menyebabkan kerajaan negeri dan pusat menangguhkan beberapa projek utama.

“Bagaimanapun, sejak pertengahan 2014, kerajaan India yang diketuai Perdana Menteri Narendra Modi dengan dasar pintu terbukanya sudah pastinya menjanjikan lebih banyak peluang kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DMIA (M) Sdn Bhd Datuk Seri Subramaniam Pillai berkata syarikat Malaysia berminat dengan pelaburan jangka panjang.

“India mahu menyediakan sistem metro dan jalan raya yang lebih baik serta bandar pintar yang mana syarikat Malaysia mempunyai kelebihan dengan rekod prestasi baik mereka sejak awal 1990-an,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA