India, Pakistan berkemelut lagi

India, Pakistan berkemelut lagi

ISLAMABAD, 19 Julai – Pakistan menuduh India mencabul gencatan senjata mereka di rantau Kashmir, selepas melaporkan kematian empat orang awam dalam kejadian tembakan antara sempadan sebelumnya.

Tentera India melepaskan tembakan di kawasan Garisan Kawalan (LoC) Poonch semalam, sempadan de facto rantau, menggunakan senjata kecil, roket, mortar dan tembakan mesingan, menurut satu kenyataan Kementerian Luar di Islamabad.

Kenyataan itu dikeluarkan lewat semalam, beberapa hari selepas Islamabad memanggil duta India selepas apa yang digelarnya dron pengintip India ditembak jatuh di Kashmir.

“Adalah amat dikesali bahawa sekali lagi pencabulan gencatan senjata oleh tentera India telah dilakukan ketika cuti Hari Raya Aidilfitri, seperti yang dilakukan oleh mereka pada tahun lalu, apabila ramai orang awam yang tidak bersalah dibunuh,” kata kenyataan itu, merujuk kepada perayaan Islam yang mengakhiri Ramadan.

Pegawai Pakistan sebelumnya berkata tembakan India pada Rabu dan Khamis membunuh empat orang awam, seorang di Kashmir sendiri dan tiga berhampiran bandar Sialkot berdekatan dengan sempadan.

“Pakistan mengemukakan bantahan terhadap perbuatan provokatif itu, yang menentang semangat pemahaman yang dicapai pada mesyuarat Ufa, dan berharap kerajaan India akan memerhati pemahaman yang dicapai di antara kedua-dua pihak pada tahun 2003,” kata kenyataan terbaru, merujuk kepada kejadian semalam.

Kashmir telah dibahagi di antara India dan Pakistan, tetapi dituntut oleh kedua-duanya, sejak kedua-dua negara mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947.

Satu gencatan senjata sempadan yang dipersetujui pada 2003 sebahagiannya telah dipatuhi, dengan pencabulan dilaporkan sekali-sekala daripada kedua-dua pihak. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA