India, Pakistan tidak rancang bertemu

India, Pakistan tidak rancang bertemu

ISLAMABAD, 24 Sept (Reuters) – Negara bersenjatakan nuklear India dan Pakistan tidak mempunyai rancangan untuk bertemu pada Perhimpunan Agung PBB akan datang, kata pejabat luar negeri Pakistan hari ini, menghentikan spekulasi mengatakan pemimpin kedua-dua negara mungkin berusaha mendapatkan peluang untuk mempertingkatkan hubungan yang tegang.

Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dan Perdana Menteri India Narendra Modi dijangka menginap di hotel yang sama di New York ketika mesyuarat pemimpin dunia pada bulan ini, sekaligus mendorong beberapa media meramalkan kedua-dua mereka akan bertemu. Namun Qazi Khalilullah, jurucakap untuk kementerian luar Pakistan, menyangkal laporan berkenaan. “Tidak ada cadangan untuk pertemuan kedua-dua PM,” beritahunya kepada Reuters.

Rundingan yang dirancang di antara penasihat keselamatan dari kedua-dua negara dibatalkan pada bulan lalu beberapa jam sebelum mereka dijangka bermula, menghancur harapan kedua-dua mereka mungkin mengatasi keganasan yang dikhuatiri oleh kebanyakan orang mungkin mencetuskan pertempuran nuklear pada satu hari nanti.

India dan Pakistan telah bertempur dalam tiga peperangan sejak menjadi negara merdeka pada 1947, dua di antaranya adalah mengenai rantau Himalaya Kashmir, yang dituntut oleh kedua-duanya tetapi diperintah secara berasingan.

Sharif dilantik pada tahun 2013 berdasarkan janji akan mempertingkat hubungan dengan India, namun sejak itu masalah domestik telah memaksanya menyerahkan lebih banyak kawalan mengenai dasar luar negeri dan keselamatan kepada tentera Pakistan.

ARTIKEL YANG SAMA