India rai Hari Republik

India rai Hari Republik

NEW DELHI, 26 Jan – Beribu-ribu orang berkumpul di New Delhi di tengah-tengah keselamatan ketat hari ini bagi menyaksikan perarakan Hari Republik tahunan India, upacara besar pihak tentera yang gilang-gemilang bercirikan unta dan penunggang lagak ngeri, dengan Presiden Perancis, Francois Hollande menjadi ketua tetamu kehormatnya.

Kontinjen infantri Perancis di India bagi latihan ketenteraan bersama telah mengetuai perarakan yang diadakan di lebuh raya Rajpath tengah bandar itu, pasukan luar negeri yang pertama kali pernah terlibat sama dalam perarakan tersebut.

Perdana Menteri India, Narendra Modi mengundang Hollande sebagai ketua tetamu kehormat dalam menunjukkan perpaduan dengan Perancis selepas serangan kumpulan Islamis di Paris November lepas yang membunuh 130 orang – mengimbas semula serangan 2008 ke atas Mumbai yang membunuh 166 orang.

Kedua-dua pemimpin bersetuju pada rundingan Isnin untuk memperdalamkan lagi kerjasama terhadap pencegahan keganasan ekoran serangan di Paris dan serbuan maut bulan ini ke atas pangkalan tentera udara India berhampiran sempadan Pakistan.

Suasana hari ini lebih kepada perayaan, dengan Modi – dilihat memakai serban keemasan yang menyaingi topi tentera menakjubkan semasa pertunjukan itu – dan Hollande bersembang ketika mereka duduk bersama dalam petak kaca kalis peluru.

Francois Hollande (tengah-kiri) melambai ke arah khalayak ramai ketika tiba bersama Narendra Modi (tengah-kanan) dan Presiden India, Pranab Mukherjee (tengah) menyaksikan perarakan Hari Republik India di New Delhi pada 26 Januari. – AFP
Francois Hollande (tengah-kiri) melambai ke arah khalayak ramai ketika tiba bersama Narendra Modi (tengah-kanan) dan Presiden India, Pranab Mukherjee (tengah) menyaksikan perarakan Hari Republik India di New Delhi pada 26 Januari. – AFP
Anggota Pasukan Keselamatan Sempadan India berarak semasa Perarakan Hari Republik di New Delhi pada 26 Januari. – AFP
Anggota Pasukan Keselamatan Sempadan India berarak semasa Perarakan Hari Republik di New Delhi pada 26 Januari. – AFP

Dianggarkan 10,000 pengunjung meredah paras kualiti udara dan asbut yang diklasifikasikan dalam laman web kedutaan AS sebagai berbahaya untuk menyaksikan pertunjukan itu.

Delhi dikatakan bandar paling tercemar di dunia dengan paras PM2.5 – partikel kecil yang boleh memasuki aliran darah – sering mencecah 10 kali ganda had selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Namun langit kelihatan kering, tidak seperti tahun lepas apabila ketua tetamu kehormat Presiden AS, Barack Obama terpaksa berlindung di bawah payung sepanjang hari.

Unta Pasukan Keselamatan Sempadan yang dihiasi – menjadi tumpuan setiap tahun – menjadi pembukaan acara, dengan pakaian perhiasan terang berwarna-warni.

Disusuli dengan perarakan daripada pelbagai penyertaan lain, acara itu juga bercirikan kereta berhias yang menampilkan budaya negara itu yang menjadi tumpuan perayaan tahunan sempena kelahiran India moden.

Ia menandakan penerimaan perlembagaan negara pada 26 Januari 1950, diikuti kemerdekaan daripada Britain pada 1947.

Ia adalah kali kelima presiden Perancis menjadi ketua tetamu kehormat, penghormatan terbesar India yang menganugerahkannya kepada pemimpin luar negeri.

Untuk perarakan besar ini, India telah melancarkan tindakan keras keselamatan seluruh negara dan mengadakan siri penangkapan.

Kira-kira 50,000 anggota polis, tentera dan pasukan separa tentera telah dikerahkan di seluruh bandar hari ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA