India rekod pertumbuhan tertinggi dalam trafik udara domestik global

India rekod pertumbuhan tertinggi dalam trafik udara domestik global

NEW DELHI, 2 Okt (Bernama) – India telah mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam trafik udara domestik pada peringkat global, berikutan harga tambang yang lebih rendah serta pelancaran syarikat penerbangan yang baharu, lapor akhbar The Times of India.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), berkata permintaan trafik penumpang domestik India terus berkembang pesat dalam kalangan tujuh pasaran penerbangan utama global seperti Australia, Brazil, China, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat.

Permintaan domestik India melonjak sebanyak 18.3 peratus pada Ogos 2015 berbanding tahun lepas, yang mencerminkan peningkatan dalam kekerapan perkhidmatan serta pengukuhan, lapor Times of India yang memetik kenyataan IATA.

Ini diikuti oleh China, sebanyak 13.6 peratus dan Rusia 10.9 peratus.

Trafik domestik India naik 28 peratus pada Julai, 16.3 peratus (Jun), 18.3 peratus (Mei), 20.7 peratus (April) dan 17.9 peratus pada Mac tahun ini.

Pertumbuhan sebanyak 18.3 peratus pada Ogos, walaupun lebih rendah dari Julai, namun merupakan bulan yang paling pesat berkembang di peringkat global.

Kapasiti domestik India bagi bulan dalam kajian naik 8.4 peratus berbanding Ogos 2014.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler, berkata angka Ogos mencerminkan kesinambungan trend permintaan yang kukuh untuk perjalanan udara walaupun ekonomi global agak lembab, khususnya di pasaran pesat membangun.

ARTIKEL YANG SAMA