India sumbang AS$1 bilion untuk Nepal

India sumbang AS$1 bilion untuk Nepal

KATHMANDU, Nepal, 25 Jun (Reuters/Agensi) – India hari ini berikrar menyumbang sejumlah AS$1 bilion bagi pembangunan semula Nepal yang dilanda gempa bumi, dengan sepertiga jumlah itu dalam bentuk geran, Menteri Luar negara itu, Sushma Swaraj memberitahu persidangan negara penderma yang turut dihadiri oleh China.

Swaraj berkata sumbangan AS$1 bilion itu adalah melebihi daripada ikrar bantuan sedia ada India untuk Nepal.

“Ini menjadikan jumlah bantuan kepada Nepal sepanjang tempoh lima tahun akan datang mencecah kepada AS$2 bilion,” katanya.

Nepal menghoskan Persidangan Antarabangsa bagi Pembangunan Semula Nepal “Ke arah Nepal Berdaya Maju” yang berlangsung hari ini yang menyaksikan, kerajaan Nepal berusaha meraih sokongan penderma antarabangsa bagi rancangan pembangunan semula yang dijangka menelan kos AS$6.6 bilion sepanjang tempoh lima tahun.

Dua ratus tiga puluh sembilan delegasi dari 53 negara termasuk Negara jiran China dan India, agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi pelbagai hala menyertai persidangan itu.

Menteri Luar India, Sushma Swaraj ketika berucap pada persidangan tersebut di Kathmandu, ibu negara Nepal pada 25 Jun 2015. – AFP
Menteri Luar India, Sushma Swaraj ketika berucap pada persidangan tersebut di Kathmandu, ibu negara Nepal pada 25 Jun 2015. – AFP

Semalam, Menteri Luar Negeri Nepal Mahendra Bahadur Pandey menyatakan harapan agar masyarakat antarabangsa menyokong Nepal dalam usahanya membangunkan semula negara itu serta mengembalikan ekonomi negara itu kembali ke landasannya.

Persidangan selama sehari tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Sushil Koirala.

Dua gempa bumi kuat melanda pada 25 April dan 12 Mei di negara Himalaya tersebut dan meragut lebih 8,787 jiwa serta memusnahkan lebih 500,000 rumah, dan menjejaskan 2.8 juta dari sejumlah 28 juta penduduk Nepal.

ARTIKEL YANG SAMA