India tandatangani tujuh perjanjian bersama Qatar

India tandatangani tujuh perjanjian bersama Qatar

DOHA, 6 Jun – Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam menuntut ‘persahabatan era baru’ di antara negaranya dan Qatar ketika mengadakan lawatan dua hari ke amiriah itu.

Beliau menulis di Twitter selepas pegawai dari Qatar dan India menandatangani tujuh perjanjian bersama di antara dua buah negara merangkumi bidang seperti pelaburan, risikan kewangan dan pendidikan.

“Lawatan saya ke Qatar telah melihat perbincangan menyeluruh yang akan membawa era persahabatan di antara India dan Qatar,” kata Modi.

Lawatan tersebut termasuklah satu lagi memorandum persefahaman untuk membuka pasaran India kepada dana kekayaan Qatar, Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar bernilai $300 bilion.

Memorandum itu berkata ia bertujuan untuk memudahkan ‘penyertaan pelabur institusi Qatar dalam projek infrastruktur di India.’

Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri) berjabat tangan dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, ketika mengadakan lawatan di Doha, Qatar semalam. – AP
Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri) berjabat tangan dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, ketika mengadakan lawatan di Doha, Qatar semalam. – AP

Komuniti India adalah terdiri daripada kumpulan etnik terbesar di Qatar, dengan penduduknya berjumlah kira-kira 700,000 daripada 2.5 juta penduduk di sana.

Qatar telahpun menjadi salah sebuah pembekal gas asli cair terbesar India, dan perdagangan dua hala di antara mereka dipercayai mencecah kira-kira $10 bilion.

Awal semalam, Modi bertemu dengan emir Qatar, Tamim bin Hamad Al-Thani, ketika lawatan beliau, sebahagian daripada kunjungan ke lima buah negara yang telahpun membawanya ke Afghanistan.

Beliau juga akan melawat Switzerland, Mexico dan Amerika Syarikat. – AFP