‘Indiasoft 2016’ jentera jalin rangkaian kerja

‘Indiasoft 2016’ jentera jalin rangkaian kerja

NEW YORK, 24 Dis (Bernama) – Pengusaha industri teknologi maklumat (IT) Malaysia digesa merebut peluang daripada pameran dan persidangan perisian antarabangsa ‘Indiasoft 2016’ di Mumbai pada 3 dan 4 Mac 2016, yang bertujuan merangsang eksport perisian India ke Amerika Syarikat.

Gesaan itu dibuat oleh ahli perniagaan yang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan negara pembekal IT berpotensi seperti Malaysia dan Filipina.

“Saya lihat dengan mata saya sendiri kerajaan Malaysia telah membangunkan infrastruktur yang mengagumkan untuk merangsang sektor ITnya.

“Saya lihat semua ini semasa saya melawat Kuala Lumpur beberapa tahun lepas.

Jika Malaysia boleh bekerjasama dengan syarikat IT India, sinergi ini akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak,” kata usahawan India berpangkalan di New Jersey, Arvind Patel.

Beliau antara usahawan yang dijemput menghadiri jerayawara anjuran India bagi mempromosikan Indiasoft 2016, di sini.

Dianggar kira-kira 150 usahawan IT India akan mempamerkan inovasi mereka pada Indiasoft 2016 yang dijangka turut menarik lebih 500 wakil syarikat dari seluruh dunia.

“Pameran ini juga berperanan sebagai jentera untuk syarikat menjalinkan rangkaian kerja,” kata Pengerusi Indiasoft, Nalin Kohli yang menggesa usahawan IT memanfaatkan pameran itu untuk menjalin kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana India.

ARTIKEL YANG SAMA