Indonesia akan ambil tindakan ke atas kapal asing

Indonesia akan ambil tindakan ke atas kapal asing

JAKARTA, Indonesia, 20 Jun (AP) – Indonesia berkata ia akan terus mengambil tindakan ‘muktamad’ ke atas kapal asing yang beroperasi secara haram di perairan di bawah bidang kuasanya selepas Beijing mengkritik tentera lautnya kerana menembak kapal nelayan China.

Jurucakap tentera laut Indonesia Laksamana Pertama Edi Sucipto mengesahkan sebuah kapal perang Indonesia melepaskan tembakan amaran kepada kapal nelayan China di perairan di luar pulau Natuna Indonesia dan menahan salah sebuah kapal dan tujuh anggota kru.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada Jumaat. “Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan muktamad ke atas kapal asing, tanpa mengira bendera dan kerakyatan mereka, apabila mereka melakukan pencabulan di wilayah Indonesia,” kata Sucipto.

Kementerian Luar China mengeluarkan satu kenyataan bantahan semalam dan berkata tentera laut Indonesia telah ‘menganiaya tenteranya’.

Ia berkata seorang nelayan cedera dalam kejadian itu.

Tuntutan China ke atas Laut China Selatan tidak termasuk pulau Natuna, yang hampir 2,000 kilometer panjang dari China di perairan di antara Malaysia dan Borneo.

Namun sembilan garis sengkang China, yang digunakannya untuk menandakan cita-citanya untuk menetap sempadan laut, bertindih dengan kawasan zon ekonomi eksklusif Indonesia yang diiktiraf oleh dunia yang terbentang dari pulau Natuna. Kenyataan kementerian luar China menyifatkan perairan itu sebagai kawasan penangkapan ikan tradisional China.

Menteri Laut dan Perikanan Susi Pudjiastuti, yang menyelia pemusnahan puluhan bot asing yang ditangkap menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia, berkata tentera laut mengikut prosedur yang betul ketika berurusan dengan penceroboh.

“Kami tidak menembak tanpa alasan yang jelas. Melindungi kedaulatan negara kami merupakan satu kemestian,” tulis beliau di Twitter.

ARTIKEL YANG SAMA