Indonesia akui sukar tangani jerebu

Indonesia akui sukar tangani jerebu

JAKARTA, 18 Sept (Bernama)  – Kerajaan Indonesia mengakui usaha mengatasi masalah jerebu adalah sesuatu yang sukar tetapi memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bagi menangani keadaan itu.

Naib Presidennya, Jusof Kalla berkata di pihak kerajaan, mereka sudah melakukan apa yang mampu dalam menangani masalah jerebu itu, yang kesannya turut dirasai negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.

“Selalu saya katakan ini masalah alam. Kita sudah berusaha termasuk pembiayaan membawa 20 helikopter dan pesawat bagi mengatasinya tetapi ternyata ia sukar. Ini kerana ketika ini musim kering,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Wakil Presiden hari ini.

Jusof berkata, Malaysia turut menyatakan sokongan untuk kerajaan Indonesia mengambil tindakan ke atas syarikat perladangan milik Malaysia terutama di Sumatera yang terlibat dalam pembakaran yang menyebabkan jerebu itu.

“Apa yang penting kita berusaha sebaiknya (dalam menangani jerebu) tetapi perubahan alam yang menyebabkan terjadinya perkara itu.

“Bagi negara tetangga, kita sama-sama menikmati alam ini dan kita sama-sama kena akibatnya kalau salah (menguruskan persekitaran). Hakikatnya kita (Indonesia) lebih menderita (dalam isu jerebu),” katanya.

Sementara itu, Jusof berkata Malaysia dan Indonesia selaku pengeluar terbesar minyak kelapa sawit dunia, perlu bersatu dalam menghadapi persaingan daripada minyak makanan menggunakan sumber lain seperti soya dan bunga matahari.

“Di dunia ini, 80 peratus minyak kelapa sawit adalah dari Malaysia dan Indonesia. Dalam soal ini, kita terpaksa bersaing dengan sumber lain. Malaysia dan Indonesia perlu bersatu menghadapi cabaran ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA