Indonesia ancam hukum pemain haram

Indonesia ancam hukum pemain haram

JAKARTA, 6 Sept – Indonesia hari ini mengancam untuk menghukum pemain import yang bekerja tanpa permit sah selepas pemerhati mendakwa ramai pemain dari luar negara serta jurulatih menyertai kelab tempatan beroperasi secara tidak sah.

Badan pemerhati tempatan, ‘Save Our Soccer’ dalam laporan mereka berkata, seramai 81 pemain bola dari luar negara dan jurulatih yang sedang bermain di negara itu tidak memiliki permit yang sah.

Secara keseluruhan, 29 pemain dari Brazil dan sebahagian lagi negara Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Selatan lain, menurut laporan yang dikeluarkan, minggu lalu. Laporan itu juga menambah, kebanyakan pemain hanya mempunyai visa ketibaan, permit selama 30 hari sebagai pelancong manakala sebahagiannya menggunakan visa perniagaan seperti penasihat yang sering mengunjungi negara itu.

“Ada petunjuk yang mereka ada pemain-pemain haram bermain di Indonesia. Kami akan bekerjasama dengan jabatan imigresen untuk menyiasat perkara ini, ini adalah tidak betul,” kata jurucakap menteri sukan, Gatot Dewa Broto kepada AFP.

Apabila siasatan itu lengkap, sesiapa yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan hukuman, katanya tanpa mendedahkan bentuk hukuman yang bakal diambil. Pemain

Pemain import dari Indonesia sebelum ini sering mengadu mereka mendapat layanan yang buruk daripada kelab yang mereka sertai, dengan beberapa kes mereka tidak dibayar gaji dan tidak mampu membayar kos rawatan perubatan.

Pendedahan itu hadir ketika bola sepak Indonesia ketika ini cuba untuk pulih selepas menjalani penggantungan setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan campur tangan kerajaan di liga tempatan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA