Indonesia bantah pencerobohan China

Indonesia bantah pencerobohan China

JAKARTA, 21 Mac (Reuters) – Indonesia membantah kepada China hari ini terhadap apa yang digambarnya sebagai pencerobohan perairannya oleh kapal pengawal pantai China berhampiran satu kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, kata menteri luar negara.

Kejadian itu berlaku di tengah ketegangan meningkat di Laut China Selatan, terutamanya mengenai penebusgunaan tanah China dan berhubung tuntutannya ke atas sebahagian besar koridor perkapalan yang kaya dengan sumber itu.

Beberapa negara Asia Tenggara mempunyai tuntutan bertindih di kawasan itu walaupun Indonesia tidak mempunyai tuntutan, dan ia melihat dirinya sebagai ‘broker jujur’ dalam pelbagai perbalahan wilayah.

Menteri luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata beliau telah bertemu dengan wakil kedutaan China di Jakarta selepas kejadian pada hujung minggu yang membabitkan kapal pengawal pantai China, kapal perikanan China dan kapal peronda Indonesia di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Laut Natuna.

Retno Marsudi membuat kenyataan di Kementerian Luar di Jakarta, Indonesia, kelmarin. – Reuters
Retno Marsudi membuat kenyataan di Kementerian Luar di Jakarta, Indonesia, kelmarin. – Reuters

Pihak berkuasa Indonesia berusaha menahan sebuah kapal China yang dikatakan oleh mereka sedang menangkap ikan di perairannya, kata seorang pegawai Indonesia sebelumnya. Lapan anggota krew China ditahan tetapi pengawal pantai China menghalang Indonesia daripada mendapatkan kapal perikanan. China berkata kapal perikanan sedang beroperasi di “kawasan penangkapan ikan tradisional China” dan telah menuntut nelayan supaya dibebaskan.

“Apabila ia membabitkan perbalahan penangkapan ikan, atau isu laut, China sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Indonesia untuk menyelesaikan perbalahan berkenaan menerusi rundingan dan dialog,” beritahu pegawai kedutaan China Sun Weide kepada wartawan di Jakarta selepas bertemu dengan menteri perikanan Indonesia.

China menuntut hampir kesemua Laut China Selatan, satu koridor perkapalan yang strategik, juga kaya dengan ikan dan gas asli, di mana beberapa negara Asia Tenggara juga mempunyai tuntutan bertindih. Namun China dan Indonesia tidak mencabar kedaulatan pulau Natuna dan laut di sekitar mereka: kedua-duanya bersetuju mereka adalah sebahagian daripada Wilayah Riau.