Indonesia belum hantar nota bantahan

Indonesia belum hantar nota bantahan

JAKARTA, 26 Jun (Bernama) – Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi hari ini menjelaskan pihaknya belum menghantar nota bantahan kepada Malaysia mengenai dakwaan kononnya baru-baru ini tentera Malaysia didapati menceroboh kawasan perairan Laut Sulawesi atau lebih dikenali sebagai Ambalat.

Retno berkata apa yang beliau maksudkan dalam kenyataannya kepada media tempatan baru-baru ini ialah Indonesia pernah menghantar dua nota bantahan kepada Malaysia dalam tempoh Januari dan April tahun ini tetapi ia tidak dipastikan sama ada berkaitan isu Ambalat atau kes berlainan.

“Dari tempoh Januari sehingga April, kami ada menghantar dua nota bantahan tetapi tidak pasti adakah ia berkaitan dengan Ambalat, saya harus periksa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis perasmian bengkel ‘Menguruskan Konflik Laut China Selatan Dari Perspektif ASEAN’ di sini hari ini.

Beliau berkata kesahihan dakwaan kononnya berlaku pencerobohan tentera Malaysia itu sebenarnya masih dalam siasatan.

CNN Indonesia pada dua hari lepas dalam wawancara khas meminta Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengulas dakwaan kononnya Retno telah menghantar tujuh nota bantahan mengenai pencerobohan berkenaan.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. – AFP
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi. – AFP

Zahrain bagaimanapun menafikan ada menerima sebarang nota bantahan dan kesal dengan dakwaan yang tidak benar sama sekali itu.

“Sama ada secara hubungan diplomatik mahupun hubungan ketenteraan, setakat ini kami tidak menerima sebarang nota bantahan dan kerajaan Malaysia juga telah menafikan kononnya berlaku pencerobohan seperti didakwa oleh media Indonesia,” katanya.

Beliau berkata jika benar terdapat nota bantahan, sudah tentu pihaknya akan menyelesaikan masalah itu secara diplomatik.

“Malaysia dan Indonesia telah pun menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincang sebarang masalah yang timbul mengenai kawasan Ambalat itu dan jika benar berlakunya pencerobohan, masalah itu akan diselesaikan secara rundingan dalam jawatankuasa berkenaan,” kata Zahrain.

Sebuah akhbar berbahasa Indonesia baru-baru ini turut memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia, Jen Moeldoko sebagai berkata beliau akan memberi peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia jika pencerobohan itu benar-benar berlaku.

Moeldoko berkata angkatan tentera kedua-dua negara sebelum ini telah bersetuju untuk menjaga keamanan dan tidak mahu menimbulkan sebarang konflik.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah, Malaysia itu timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim tersebut terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.