Indonesia berunding dengan Australia mengenai pulau pendatang asing

Indonesia berunding dengan Australia mengenai pulau pendatang asing

JAKARTA, 20 Nov (AFP) – Indonesia sedang berunding dengan Australia untuk menempatkan pencari perlindungan yang terkandas di Indonesia di sebuah pulau di gugusan kepulauan jika Canberra menanggung kos, menurut satu laporan hari ini.

Canberra telah memperkenalkan dasar keras untuk membendung kemasukan pencari perlindungan yang sampai ke pantainya dengan bot penyeludupan orang, dengan mereka yang tiba menerusi laut tidak diberikan penempatan semula di Australia walaupun jika didapati merupakan pelarian sebenar. Sebaliknya, mereka diminta berpatah balik ke negara mereka atau dihantar ke negeri kecil Nauru dan pulau Manus di Papua New Guinea.

Indonesia, tempat transit utama untuk pencari perlindungan dalam perjalanan ke Australia, telah lama berasa jengkel dengan pendekatan keras itu, terutamanya dasar meminta bot penghijrah berpatah balik ke gugusan kepulauan apabila ia selamat untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, terdapatnya tanda-tanda yang menunjukkan hubungan di antara negara jiran itu telah berpulih, dan Menteri Keselamatan Luhut Panjaitan memberitahu akhbar Jakarta Post bahawa Indonesia mungkin bekerjasama dengan Australia untuk menempatkan penghijrah di wilayahnya.

“Kami boleh membincang kemungkinan untuk memperuntukkan sebuah pulau untuk pelarian tetapi Australia diwajibkan membiayai kos keseluruhan,” beritahunya kepada akhbar. Beliau berkata terdapatnya rundingan mengenai pulau berkenaan, tetapi mereka bersifat “awal.”

Beliau berkata ramai pencari perlindungan berakhir terkandas di wilayah yang lebih miskin di Indonesia dan mungkin mencetuskan ketegangan dengan penduduk tempatan, menurut akhbar.

Pejabat Panjaitan tidak mempunyai komen untuk AFP mengenai laporan itu.

Jakarta menyertai skim yang sama sebelum itu, menempatkan kira-kira 200,000 warga Vietnam di pulau Galang di luar Sumatera di antara 1979 dan 1996, setelah ramai melarikan diri dari negara dengan bot selepas Perang Vietnam.