Indonesia cadang turunkan biaya haji 2016

Indonesia cadang turunkan biaya haji 2016

JAKARTA, 5 Mei (Bernama) – Kerajaan Indonesia bercadang menurun kan kadar biaya ibadah haji untuk umat Islam negara itu bagi tahun ini. Media-media tempatan hari ini memetik laporan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyebut anggota-anggota dewan itu telah mencapai kata sepakat dengan Kementerian Agama supaya biaya haji tahun 2016 diturunkan kepada AS$2,528 berbanding AS$2,717 pada tahun lepas.

Bagaimanapun cadangan itu perlu mendapat persetujuan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo sebelum dilaksanakan.

Timbalan Ketua DPR Sodik Mudjahid dipetik sebagai berkata selain menurunkan kadar bayaran itu, DPR juga mencadangkan kerajaan meningkatkan lagi beberapa kemudahan dan perkhidmatan untuk jemaah haji di Tanah Suci kelak.

Katanya antara perkhidmatan yang dinaikkan adalah pemberian makan sebanyak 25 kali di Makkah berbanding 15 kali sahaja tahun lepas, menaik taraf jenis bas dalam perjalanan di kota Arab Saudi, kemudahan dan pelayanan selama di Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyebut anggota-anggota dewan itu telah mencapai kata sepakat dengan Kementerian Agama supaya biaya haji tahun 2016 diturunkan kepada AS$2,528 berbanding AS$2,717 pada tahun lepas.
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyebut anggota-anggota dewan itu telah mencapai kata sepakat dengan Kementerian Agama supaya biaya haji tahun 2016 diturunkan kepada AS$2,528 berbanding AS$2,717 pada tahun lepas.

Sodik berkata kos ibadah haji itu dapat diturunkan kerana pihak pengurusan haji sedang berusaha mendapatkan penurunan kos penginapan di Madinah dan penurunan kos pesawat hasil rundingan dengan pihak syarikat penerbangan.

Sementara itu, Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin pula berkata kuota jemaah haji Indonesia bagi tahun ini dikekalkan dengan jumlah jemaah dihadkan kepada 168,800 orang sahaja.

Katanya bagaimanapun permintaan Indonesia untuk menambah sebanyak 10,000 jemaah bagi tahun ini masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi telah memaklumkan bahawa pemotongan kuota sebanyak 20 peratus terpaksa dikekalkan lagi ekoran kerja-kerja menaik taraf dan meluaskan kawasan Masjidil Haram masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi juga memberi jaminan meningkatkan aspek keselamatan jemaah haji ekoran kerja-kerja pembinaan yang berjalan di sekitar kawasan masjid berkenaan.