Indonesia hidupkan peluang ke separuh akhir

Indonesia hidupkan peluang ke separuh akhir

SINGAPURA, 10 Jun (Bernama) – Indonesia menghidupkan kembali peluang untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2015 selepas menewaskan pasukan tercorot, Filipina 2-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan A di Stadium Jalan Besar di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Indonesia mengatasi pasukan tuan rumah, Singapura untuk berada di kedudukan kedua dalam kumpulan itu, berdasarkan kelebihan perbezaan gol walaupun kedua-dua pasukan berkongsi enam mata selepas beraksi tiga perlawanan.

Indonesia yang muncul naib juara di laman sendiri pada kejohanan edisi 2011, hanya memerlukan keputusan seri apabila berdepan Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A, Khamis ini, untuk mara ke separuh akhir. Malam ini, ketua pasukan Evan Dimas Darmono muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol Indonesia pada minit keempat dan ke-13.

Dalam perlawanan Kumpulan B, Laos yang sudah terkeluar daripada saingan ke separuh akhir, mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Timor Leste di Stadium Bishan.

Tiga gol Laos dijaringkan oleh Bounthavy Sipasong pada minit ke-27, Phoutthasay Khochalern (minit ke-47) dan pemain gantian Khonesavanh Sihavong pada minit ke-67.

Sementara gol Timor Leste menerusi Alves Ima Kefi Frangcyatma pada minit ke-22 dan Da Cruz Martins pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Tiga pasukan iaitu juara bertahan, Thailand dan Vietnam (kedua-dua daripada Kumpulan B) dan Myanmar daripada Kumpulan A, sudah menempah slot ke separuh akhir pada temasya dwitahunan itu.

Perlawanan separuh akhir dijadual pada 13 Jun di Stadium Nasional di Hab Sukan Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA