Indonesia juara ASG7

Indonesia juara ASG7

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ menjadi lagu kebangsaan kemuncak yang dikumandangkan dan dinyanyikan semasa Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Pencak Silat, Sukan Sekolah-sekolah ASEAN Kali Ke-7 (ASG7) Brunei Darussalam 2015 menerusi kejayaan Dayang Anisah Najihah binti Abdullah meraih pingat emas Kategori Seni Bela Diri Tunggal Perempuan.

Indonesia muncul juara dengan meraih 25 pingat emas, 24 perak dan 10 gangsa diikuti naib juara Malaysia dengan 20 emas, 14 perak dan 22 gangsa manakala tempat ketiga Thailand mengutip 13 emas, 31 perak dan 26 gangsa. Menyempurnakan penyampaian pingat kepada pemenang iaitu emas kepada Dayang Anisah Najihah binti Abdullah (463 mata), perak kepada Dwi Jayanti (456 mata) dari Indonesia dan gangsa Nur Fatihah binti Zainuddin (451 mata) dari Malaysia ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Daripada enam acara pencak silat yang dipertandingkan dalam Kategori Seni Bela Diri, Brunei berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan satu pingat gangsa, manakala dalam tiga lagi acara masing-masing menduduki tempat keempat.

Pingat perak untuk Brunei disumbangkan Regu Lelaki dibarisi Muhammad Hisyam bin Awang Haji Hamzah, Ahmad Muawwiz bin Haji Omar dan Mohd Hasbul yang mengumpul jumlah mata sama dengan Regu Lelaki Indonesia iaitu 453 mata. Indonesia yang diwakili Kresna, Muhd Hendri dan Rano Slamet dipilih memenangi pingat emas kerana markah dari sudut ‘Kebenaran Jurus’ mereka lebih tinggi iaitu 284 mata berbanding 283 mata bagi Brunei. Gangsa diraih Malaysia (452 mata). Pada pertandingan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, pemenang Seni Bela Diri Regu Lelaki turut menerima pingat masing dari Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Pingat gangsa Brunei Darussalam pula diperolehi menerusi Kategori Seni Bela Diri Regu Perempuan yang turut disertai Dayang Anisah Najihah bersama dua rakannya, Qistina Athirah binti Zainal dan Nurhamizah binti Hamid.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (lima dari kiri) dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom (lima kanan) bersama kontinjen silat ASG7 Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (lima dari kiri) dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom (lima kanan) bersama kontinjen silat ASG7 Brunei Darussalam.

pg24_151127_LOGO ASG7

Regu Lelaki Brunei Darussalam (kuning) meraih perak, sementara emas dimenangi Indonesia (merah) dan Malaysia (jingga) pula meraih gangsa bersama Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Haji Abdul Rahim (kanan).
Regu Lelaki Brunei Darussalam (kuning) meraih perak, sementara emas dimenangi Indonesia (merah) dan Malaysia (jingga) pula meraih gangsa bersama Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Haji Abdul Rahim (kanan).

Mereka bertiga mengumpul 444 mata, di belakang pemenang pingat emas, Regu Indonesia (454 mata) yang dibarisi Yesi, Okeu dan Siti Nuraina, dan pemenang pingat perak, Regu Vietnam (448 mata) yang diwakili Nguyen Thuy Linh, Vu Khanh Ly dan Li Thi Hien.

Para pemenang Kategori Seni Bela Diri Regu Perempuan menerima pingat mereka masing-masing daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Semasa majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin Menteri Pendidikan telah turut menyempurnakan pengalungan pingat kepada para pemenang Tanding ‘G’ Perempuan, Tanding ‘H’ Lelaki dan Seni Bela Diri Ganda Perempuan.

Sementara itu, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom turut mengalongkan pingat kepada para pemenang Seni Bela Diri Tunggal Lelaki, Seni Bela Diri Ganda Lelaki, Tanding ‘E’ Lelaki dan Tanding ‘A’ Lelaki.

Final bagi keempat-empat kategori Tanding itu telah dijalankan petang ini bermula dengan Tanding ‘E’ Perempuan yang dimenangi pesilat Thailand, Prapapon Kancharee dengan kiraan 5-0 ke atas pesilat Indonesia, Zidni Rahma Amaly.

Tanding ‘A’ Lelaki dimenangi pesilat Vietnam, Li Tien Tung yang menang 4-1 ke atas pesilat Indonesia, Haryanto, disusuli kemenangan 3-2 pesilat Vietnam, Nguyen Thi My Anh ke atas pesilat Indonesia, Rizka Andini dalam Tanding ‘G’ Perempuan.

Final terakhir petang ini adalah dalam Tanding ‘H’ Lelaki yang dimenangi pesilat Indonesia, Paksi Ghifari Nurgana dengan kiraan 5-0 ke atas pesilat Laos, Mino Vongphakdy. Di penghujung majlis, Yang Berhormat Pehin Menteri Pendidikan telah berkesudian untuk menutup rasmi pertandingan berkenaan dengan menyarung kembali ‘Keris Simbolik’ Pencak Silat. Pesilat negara turut bersaing dalam kategori Seni Beladiri Ganda Lelaki, diwakili Mohd Nur Hisham dan Awangku Muhd Isyraq Hazim. Mereka mengumpul 546 mata untuk menduduki tempat keempat.

Emas dimenangi Ganda Lelaki Indonesia, Kiki Nugraha dan Ardianto dengan 578 mata, diikuti Ganda Lelaki Malaysia, Muhd Arif Zulkifli dan Nursyamin Ikhmal Sharifuddin dengan 558 mata meraih perak, dan Ganda Lelaki Vietnam, Tran Duc Danh dan Le Hong Quan meraih gangsa dengan 555 mata. Awang Nurazfar bin Abang Ahmad hanya mengumpul 447 mata dalam acara Tunggal Lelaki, di belakang juara, Dzaki Fadlorrohman (Indonesia) yang memungut 461 mata, naib juara, Nashrul Edzam bin Mohd Asri (Malaysia) yang meraih 455 mata dan ketiga, Souksavanh Chantilath (Laos) dengan 450 mata. Dalam acara Ganda Perempuan, Dayang Muna Munirah dan Hajah Siti Nur Izyan Naqilah meraih 528 mata, jauh ketinggalan dari pemenang gangsa, Vu Khanh Ly dan Le Thi Hien (Vietnam) yang mengumpul 536 mata, perak, Ayuni Nadiah dan Nur Shahida (Malaysia) dengan 556 mata dan emas, Siti Nursaadah dan Risya Gunawan (Indonesia) yang meraih 560 mata.