Indonesia kaji tingkat usia minimum perkahwinan

Indonesia kaji tingkat usia minimum perkahwinan

JAKARTA, 24 Jun (Agensi) – Apakah usia yang sesuai bagi seorang perempuan melangsungkan perkahwinan?

Perdebatan mengenai isu ini menular di Indonesia, berikutan gesaan bagi kajian semula undang-undang perkahwinan negara tersebut.

Di Indonesia, usia yang sah bagi seorang perempuan berkahwin ialah 16 tahun bagi bagi lelaki, 19 tahun, seperti yang termaktub di bawah Undang-undang No 1 1974 Mengenai Perkahwinan (Undang-undang Perkahwinan).

Baru-baru ini, Yayasan bagi Pengawasan Kanak-Kanak, beberapa pertubuhan wanita dan individu mengemukakan petisyen bagi kajian semula Undang-undang Perkahwinan, yang bertujuan meningkatkan usia sah bagi perempuan berkahwin kepada 18 tahun.

Kumpulan yang mengemukakan petisyen tersebut berkata langkah itu bertujuan mencegah para remaja daripada tercicir persekolahan mereka dan memastikan negara mempunyai tenaga profesional yang mencukupi dalam tenaga kerjanya.

Petisyen mereka dikemukakan kepada Mahkamah perlembagaan, yang mendengar kes berkaitan perlembagaan negara, tetapi ia ditolak atas asalan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengkaji semula Fasal 7 (1) Undang-undang Perkahwinan 1974, yang berkaitan dengan usia minimum bagi perkahwinan.

Ketua Mahkamah Perlembagaan, Arief Hidayat berkata mahkamah itu tidak boleh meningkatkan usia perkahwinan kepada 18 tahun kerana hanya pihak berkuasa perundangan yang mempunyai kuasa berbuat demikian.

Beliau menjelaskan had usia bukan isu perlembagaan tetapi lebih kepada pentadbiran dan oleh itu adalah lebih sesuai petisyen itu dikemukakan kepada Presiden atau Dewan Perhimpunan, yang mempunyai kuasa untuk merumuskan undang-undang. Arief berkata lapan orang hakim yang mengkaji petisyen tersebut memutuskan bahawa penetapan usia minimum bagi perkahwinan membentuk “dasar perundangan terbuka” dan oleh itu mahkamah tidak boleh menetapkan usia bagi seseorang itu untuk berkahwin kerana ia bergantung pada anggota perundangan untuk memutuskannya.

Sebuah akhbar tempatan memetik bekas Hakim Mahkamah Perlembagaan Maruarar Siahaan sebagai berkata bahawa beliau juga bersetuju dengan petisyen bahawa usia minimum bagi sesuatu perkahwinan di tingkatkan kepada 18 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA